KUALA LUMPUR: Masyarakat Orang Asli dari suku Mah Meri telah memukau penonton antarabangsa menerusi persembahan tarian Mayin Jo’oh di Ekspo 2025 Osaka, Jepun.
Pengarah Perkampungan Budaya Mah Meri Rashid Esa berkata tarian Mayin Jo’oh yang dipimpin oleh Adi Guru Diaman Kisah merupakan tarian bagi menjemput roh nenek moyang untuk datang menyertai keraian, dan memberikan gambaran jarang dilihat serta penuh makna tentang warisan Orang Asli Malaysia.
“Selepas persembahan itu, pengunjung teruja untuk bergambar bersama topeng Bajos dan Tok Naning yang dipakai Diaman, membawa pulang bukan sahaja foto tetapi juga budaya. Bagi masyarakat Mah Meri, Bajos melambangkan pelindung dan pembawa kesuburuan tanaman serta buah-buahan manakala Tok Naning mewakili kegembiraan dan keceriaan, simbol keharmonian dengan alam semula jadi dan masyarakat.
“Persembahan yang berlangsung sempena Minggu Selangor itu menarik perhatian pengunjung. Ramai terpegun dengan gerak tari, skirt anyaman daun dan paling memikat topeng ukiran yang dipakai dengan setiap satu membawa semangat dan cerita tersendiri,” katanya.
Beliau berkata suku Mah Meri, merupakan satu daripada 18 suku Orang Asli di Malaysia, tergolong dalam subkumpulan Senoi, bertutur dalam bahasa Mon-Khmer selain bahasa Melayu dan mengamalkan budaya berteraskan animisme serta ritual yang memuliakan alam semula jadi dan roh nenek moyang.
“Mayin Jo’oh adalah elemen penting dalam kepercayaan ini, yang dipersembahkan ketika Hari Moyang, iaitu perayaan tahunan bagi menghormati dan menyambut kepulangan roh nenek moyang.
“Kaum wanita menari dalam bulatan mengikut arah lawan jam, melambangkan kitaran hidup manakala lelaki bertopeng bergerak dalam arah bertentangan, menggambarkan kisah diwarisi turun-temurun. Diiringi oleh hentakan tuntog (buluh), jule (viola) dan tambo (gendang dua muka), muzik yang terhasil mencipta irama memukau, membawa pengunjung jauh dari hiruk-pikuk digital ekspo itu,” katanya.
Rashid berkata khalayak hadir bukan sahaja terdiri daripada pelancong malah turut menarik minat pengumpul seni dan ahli akademik yang tertarik dengan kehalusan seni pertukangan Mah Meri.
“Lebih 20 arca kayu hasil seni mereka telah menerima pengiktirafan Seal of Excellence oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Setiap topeng diukir daripada kayu nyireh batu atau pulai, mengandungi makna rohani serta kehalusan seni yang tinggi. Ada kalanya pengukir mendapat ilham daripada mimpi, menjadikan proses penciptaan seolah-olah satu ritual,” katanya.
Beliau berkata hasil kraf tradisional seperti anyaman daun nipah yang membentuk persembahan rohani dikenali tupak, telah menarik perhatian pengunjung Jepun kerana mempunyai persamaan dengan seni lipatan kertas origami dikenali sebagai Oriha.
Selain persembahan, Rashid berkata penglibatan Mah Meri pada Ekspo Osaka membawa mesej penting mengenai identiti masyarakat peribumi dalam menghadapi arus pemodenan yang pesat.
“Bagi masyarakat Orang Asli, usaha mengekalkan budaya dalam perubahan sosioekonomi pesat merupakan satu cabaran berterusan. Platform seperti Ekspo Osaka bukan sahaja memberi pendedahan malah turut membawa pengiktirafan,” katanya.
Sementara itu, Diaman berkata tarian Mayin Jo’oh merupakan cara mereka menunjukkan kewujudan Mah Meri, budaya yang tetap bernilai bukan sahaja untuk masyarakat tetapi juga kepada dunia.
“Kami lakukan ini untuk menghormati moyang,” katanya.
Mah Meri secara langsung menghubungkan tradisi, bahasa dan ritual yang terjalin erat dan merentas sempadan. Tema Pavilion Weaving a Future in Harmony, menggambarkan mesej berkenaan.
Pameran berkenaan dianjurkan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).