HANGZHOU: Penerjun veteran negara, Wendy Ng menyifatkan Sukan Asia Hangzhou 2022 merupakan penampilan terakhirnya di temasya itu selepas merangkul pingat perak acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita bersama pasangannya, Nur Dhabitah Sabri, di sini, hari ini.
Penerjun berusia 30 tahun itu, yang membuat penampilan keempat berturut-turut di Sukan Asia sejak edisi 2010 di Guangzhou, China, berkata beliau tidak akan berganding dengan Dhabitah untuk edisi seterusnya.
“Sudah pasti, ini merupakan Sukan Asia terakhir dan tidak akan bersama Bitah (Nur Dhabitah) pada temasya empat tahun sekali itu.
“Ini adalah pencapaian yang baik (perak) untuk memberitahu penerjun muda bahawa kami bekerja keras untuk ini dan mereka juga sepatutnya berbuat demikian,” katanya ketika ditemui selepas final 3m papan anjal seirama wamita di Arena Sukan Akuatik Pusat Sukan Olimpik Hangzhou di sini.
Malah Wendy berharap dapat bersama Dhabitah dalam membuat penampilan terakhirnya dengan memburu slot di Sukan Olimpik Paris 2024.
Dhabitah-Wendy menghadiahkan kilauan perak sulung kem terjun negara pada edisi kali ini selepas mengumpul keseluruhan 270.27 mata sekali gus mempertahankan pencapaian yang diraih pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.
Emas menjadi milik gandingan juara dunia dari China, Chen Yiwen-Chang Yani, selepas mengumpul 335.73 mata sementara pasangan Korea Selatan, Park Hareum-Kim Suji, terpaksa berpuas hati membawa pulang gangsa dengan mengutip 253.56 mata.
Wendy kini kini mengumpul keseluruhan empat perak dalam acara 3m papan anjal seirama wanita bersama gandingan berbeza.
Sementara itu, Dhabitah berkata: “Saya boleh katakan yang gandingan dan keserasian kami dalam acara ini sangat bagus,”. - Bernama