KUALA LUMPUR: Ikatan Komuniti Selamat menyeru agar diwujudkan peraturan yang jelas dan berpandangan jauh serta kerangka etika yang menyeluruh bagi mengawal selia penggunaan kecerdasan buatan (AI) demi melindungi kepentingan awam.

Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye dalam satu kenyataan hari ini berkata berikutan pengaruh besar AI dalam kehidupan harian, terdapat keperluan mendesak bagi penggubal dasar, pemimpin teknologi, masyarakat awam dan institusi antarabangsa bekerjasama membangunkan satu kerangka yang memastikan AI adalah selamat, inklusif dan digunakan demi kepentingan manusia sejagat.

Beliau berkata penggunaan AI tanpa kawal selia boleh membawa risiko serius, termasuk pencerobohan privasi, penyalahgunaan data peribadi, peraturan berat sebelah yang membawa kepada diskriminasi atau ketidakadilan, kehilangan pekerjaan, ketidaksaksamaan ekonomi, serta penyebaran deepfake dan maklumat palsu.

Sebagai tindak balas, Lee berkata Pakatan Komuniti Selamat mencadangkan lima komponen utama bagi membentuk kerangka kawal selia yang kukuh, termasuk undang-undang kebertanggungjawapan AI bagi menentukan tanggungjawab dari segi undang-undang terhadap sebarang kemudaratan berpunca daripada sistem AI khususnya dalam aplikasi berisiko tinggi, selain ketelusan dan keupayaan penjelasan untuk menegaskan bahawa semua keputusan AI yang memberi kesan kepada individu boleh dijelaskan dengan telus.

Beliau menambah standard perlindungan dan privasi data perlu diperkukuh bagi mengelakkan capaian tidak sah, penyalahgunaan atau eksploitasi data peribadi oleh sistem AI, serta keperluan mengenakan proses penilaian risiko dan pensijilan sebelum penggunaan alat AI berimpak tinggi.

“Selain itu, menubuhkan badan pengawasan awam iaitu agensi bebas yang memantau aspek pematuhan, menjalankan audit dan mengurus aduan melibatkan AI,” katanya.

Beliau berkata turut disarankan kod etika dan integriti dalam teknologi AI bagi memandu arah pembangunan dan pelaksanaan teknologi itu.

Lee berkata kod tersebut harus menekankan reka bentuk berpaksikan manusia dengan mengutamakan maruah, autonomi dan kesejahteraan manusia, serta prinsip tidak mendiskriminasi dan kesaksamaan, kejujuran dan integriti, tanggungjawab terhadap alam sekitar, keterangkuman serta kerjasama.

Beliau menegaskan bahawa untuk “memanusiakan” AI, pertimbangan etika, ketelusan dan empati mesti disematkan dalam asas reka bentuk dan pelaksanaannya.

Beliau berkata memandangkan AI terus mengubah cara manusia hidup, bekerja dan berinteraksi adalah penting untuk memastikan pembangunan dan penggunaannya berteraskan tanggungjawab, akauntabiliti dan integriti.

“Dalam era AI membentuk hampir setiap aspek kehidupan manusia, amat penting untuk memastikan teknologi ini dibangunkan dan digunakan dengan pendekatan yang berpaksikan manusia. Kita mesti ingat bahawa AI bukan sekadar alat tetapi mencerminkan nilai-nilai penciptanya.

“Oleh itu, pembangunan AI perlu mengutamakan kesaksamaan, bertanggungjawab dan inklusif. Ini termasuk mengelakkan berat sebelah dalam sistem membuat keputusan, memastikan AI memperkasa potensi manusia dan bukannya menggantikannya, serta menjamin manfaat AI boleh dinikmati oleh semua bukan hanya segelintir,” katanya.