GEORGE TOWN: Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari hari ini menarik balik saman terhadap aktivis Ravinder Singh serta Khoo Salma Nasution berhubung kenyataan mereka yang didakwa memfitnah beliau pada 2023.

Zairil berkata beliau menarik balik saman itu selepas kedua-duanya mengakui bahawa kenyataan yang dibuat oleh mereka semasa Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang pada 2023 adalah tidak berasas.

“Hari ini di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang, kes saman saya terhadap Khoo dan Ravinder telah selesai. Mereka telah menarik balik kenyataan itu dan menzahirkan kekesalan dengan setulus hati berhubung perkara tersebut.

“Oleh itu, saya telah bersetuju untuk menarik balik saman terhadap mereka. Semoga ini menjadi pengajaran kepada semua agar sentiasa mengesahkan fakta sebelum membuat dakwaan yang tidak berasas dan kenyataan yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Menerusi kenyataan bersama, Ravinder dan Khoo mengakui dakwaan terhadap Zairil adalah tidak berasas serta menzahirkan kekesalan mereka atas sebarang aib, kesulitan atau kerosakan reputasi yang dialami oleh Zairil.