Your Title

KUALA TERENGGANU: Pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Terengganu, Aqilah Talib, 20, menyifatkan kejayaan yang dicapai hari ini adalah hasil ketekunannya bangun seawal 4 pagi untuk belajar sebelum membantu ibunya membuat kuih.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman itu berkata rutin itu dilakukan setiap hari supaya tidak ketinggalan dalam pelajaran dan pada masa memastikan ibunya, Mariam Chik, 60, dapat menyiapkan kuih bagi dihantar ke lebih 10 kedai di sekitar bandar raya ini.

Walaupun penat, dia tidak pernah menganggap tugas tersebut sebagai bebanan, sebaliknya bangga kerana dapat membantu ibu dan bapanya mencari rezeki untuk mereka sekeluarga.

“Saya akan bangun awal untuk belajar pada 4 pagi dan pukul 5 pagi sambung pula bantu mak buat kuih untuk ayah hantar ke kedai.

“Selepas itu, saya solat subuh dan bersiap ke sekolah untuk pastikan sampai awal setiap hari,“ katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman STPM di SMK Sultan Sulaiman di sini hari ini.

Aqilah berkata duit upah sebanyak RM20 seminggu hasil membuat kuih digunakan untuk membeli barangan sekolah dan kad tambah nilai telefon.

Menurutnya seboleh mungkin dia cuba mengelak meminta wang daripada ibu bapa kerana kasihan melihat kesusahan orang tuanya mencari wang bagi menyara keluarga.

“Walaupun saya anak bongsu daripada 10 beradik, semua abang dan kakak sudah memiliki keluarga serta tanggungjawab sendiri.

“Jadi ayah dan mak terpaksa bekerja untuk mencari wang bagi persekolahan dan belanja kami sehari-hari. Lagipun ayah juga sudah berusia... dah 70 tahun,“ katanya yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dan semua A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Pengajian Perniagaan, Bahasa Melayu dan Sejarah.

Aqilah berkata dia berhasrat untuk menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). -Bernama