Your Title

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam Malaysia hari ini menggesa kerajaan Terengganu dan Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan semula amalan sebat di khalayak ramai dengan menyemak dan meminda undang-undang yang membenarkan hukuman itu bagi memastikan ia berkadar, rehabilitatif dan menghormati maruah manusia.

Presidennya Mohamad Ezri Abdul Wahab yang merujuk kepada hukuman sebatan di khalayak ramai yang akan dikenakan terhadap seorang tukang kayu di Terengganu esok di bawah Pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2022, berkata hukuman sedemikian melucutkan maruah individu.

“Kami mengulangi pendirian kami yang tidak berbelah bahagi terhadap semua bentuk hukuman berat, termasuk rotan atau sebat di khalayak ramai, kerana ia sememangnya kejam, tidak berperikemanusiaan dan merendahkan martabat.

“Hukuman seperti itu menjatuhkan maruah individu. Walaupun kami mengakui kepentingan menegakkan undang-undang yang memelihara moral awam dan keharmonian masyarakat, hukuman yang dijalankan mesti sejajar dengan komitmen Malaysia untuk menegakkan kedaulatan undang-undang, Perlembagaan Persekutuan dan hak asasi manusia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Ezri berkata hukuman sebat di khalayak ramai menghina dan memburukkan lagi kesedihan yang dialami individu yang dihukum, sekali gus menyebabkan mereka menjadi objek aib awam dan bukannya menggalakkan pemulihan atau keinsafan,” katanya.

Beliau berkata pendekatan itu menjatuhkan maruah individu dan boleh dilihat sebagai melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Mohd Ezri berkata pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai melebihi had bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti ditetapkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355), Akta 355 membenarkan sebat, tetapi ia tidak membayangkan hukuman itu dijalankan secara terbuka.

“Malaysia bercita-cita untuk menjadi sebuah negara yang dihormati kerana mematuhi piawaian hak asasi manusia, namun membenarkan hukuman sebatan di khalayak ramai melanggar prinsip hak asasi manusia antarabangsa, termasuk yang termaktub dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Kejam, Tidak Berperikemanusiaan atau Menghina (UNCAT), ” katanya.

Beliau berkata adalah penting untuk melihat bahawa beberapa negara majoriti Islam telah meratifikasi atau menyetujui UNCAT - satu contoh yang perlu diikuti oleh Malaysia.

“Selain itu, kami menggesa agar hukuman berbentuk penderaan di Malaysia dimansuhkan sepenuhnya. Sistem keadilan mesti berusaha mengimbangi moral, belas kasihan, dan kedaulatan undang-undang,” katanya.