BAGAN SERAI: Empat beradik yang ditinggalkan di pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah, dekat Kampung Gajah baru-baru ini, telah ditetapkan oleh mahkamah untuk ditempatkan di rumah perlindungan hingga masing-masing berusia 18 tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak Datuk Salbiah Mohamed (gambar) berkata sekiranya terdapat mana-mana pihak berminat mengambil kanak-kanak itu menjadi anak angkat, mereka perlu melalui proses ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).
“Perlu ikut prosedur dan JKM juga tidak sewenang-wenangnya memberikan kanak-kanak itu kepada keluarga yang boleh merosakkan kehidupan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Usahawan dan Koperasi Negeri Perak di sini hari ini.
Khamis lepas, kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun bersama dua adik lelaki mereka masing-masing 3 tahun dan 10 bulan itu ditemukan ditinggalkan di pondok pengawal berkenaan bersama bungkusan plastik yang hanya berisi susu dan lampin pakai buang.
Semalam, Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Hafezul Helmi Hamzah memaklumkan pihaknya menahan seorang lelaki dan wanita yang dipercayai ibu bapa kanak-kanak berkenaan di dua lokasi berbeza dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah untuk siasatan lanjut.
Dalam perkembangan lain, Salbiah berkata kerajaan negeri telah meminta pihak berwajib di peringkat daerah untuk meneliti bantuan tambahan yang boleh diberikan kepada tiga beranak Orang Kurang Upaya (OKU) yang mendiami rumah usang di Changkat Jering, Taiping.
Beliau berkata ia sedikit sebanyak mampu mengurangkan bebanan dan membantu keluarga berkenaan untuk menjalani kehidupan seharian dengan lebih selesa.
“Di peringkat daerah, kita ada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan Daerah yang melibatkan beberapa pihak termasuk pejabat penghulu yang melihat perkara seumpama ini.
“Saya fikir keutamaan keluarga ini lebih kepada memerlukan kediaman yang selesa untuk didiami. Mungkin isu ini boleh diteliti termasuk bantuan-bantuan lain yang difikirkan sesuai,” katanya.
Salbiah berkata setakat ini JKM telah membantu keluarga itu dengan bantuan berjumlah RM450 sebulan meliputi bantuan am serta bantuan pendidikan khas.
Terdahulu, tular menerusi media sosial kisah kehidupan sebuah keluarga OKU lembam terdiri daripada pasangan suami isteri dan seorang anak menginap di sebuah rumah usang di Changkat Jering. -Bernama