Your Title

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menyenaraihitamkan pemaju yang tidak mematuhi syarat menyediakan kuota Bumiputera, kata Exco Perumahan dan Warisan negeri Borhan Aman Shah (gambar).

Beliau berkata pihaknya masih mengekalkan mekanisme sedia ada dalam menentukan peratusan kuota Bumiputera berdasarkan Pelan Tindakan Perumahan Negeri Selangor bagi sesuatu projek pembangunan.

“Sekiranya pemaju tidak mematuhi syarat kuota Bumiputera atau pemaju telah terlebih jual unit bukan Bumiputera maka proses kebenaran pindah milik secara menyeluruh atau ‘blanket consent’ tidak dapat diteruskan.

“Pemaju akan disenarai hitam daripada membuat sebarang permohonan pelepasan kuota Bumiputera di Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan dikenakan denda yang lebih berat,” katanya ketika menjawab pertanyaan Michelle Ng (PH-Subang Jaya) berhubung penjualan lot Bumiputera kepada bukan Bumiputera dalam sidang Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Borhan berkata peraturan itu dikenakan semasa kelulusan tukar syarat kegunaan dan pemberi milikan tanah yang akan diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) serta dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS).

“Pihak pemaju perlu memastikan syarat kuota Bumiputera tersebut dipatuhi semasa proses penjualan hartanah. PTGS akan membuat pemantauan semasa peringkat permohonan kelulusan ‘blanket consent’ atau ‘blanket approval’ oleh pihak pemaju,“ katanya.

Sementara itu, Borhan berkata jika pembeli sudah membeli unit Bumiputera disebabkan ketidakpatuhan pemaju ketika proses penjualan terutama bagi pemaju yang telah digulungkan atau bankrap, pembeli dibenarkan membuat permohonan rayuan pengecualian atau pengurangan bayaran tujuh peratus atau 10 peratus pemulangan potongan harga Bumiputera.

“Selain itu, lima peratus caj pelanggaran mekanisme penyelenggaraan kuota Bumiputera dengan syarat pihak pemaju membuat permohonan pelepasan kuota Bumiputera di LPHS dan rayuan itu perlu dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Rayuan Keputusan Pelepasan Kuota Bumiputera Negeri Selangor untuk pertimbangan,“ katanya.

Kerajaan negeri dan LPHS katanya bersedia membantu sebarang permohonan rayuan ke mesyuarat jawatankuasa tersebut untuk dibincangkan berdasarkan tatacara ditetapkan, seterusnya diangkat ke MMKN jika memerlukan kelulusan pihak berkuasa negeri. -Bernama