ALOR GAJAH: Penyertaan pelajar sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dalam pelbagai pertandingan berasaskan perpaduan seperti pantun dan pidato yang dianjurkan di Melaka masih rendah.
Justeru, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata pihaknya akan berbincang dengan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Datuk Rahmad Mariman mengenai kaedah atau pendekatan terbaik bagi menarik penyertaan pelajar daripada sekolah terbabit.
“Pertandingan pantun dan pidato amat penting kerana ia merupakan salah satu platform untuk semua generasi muda khususnya pelajar sekolah daripada pelbagai kaum memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan mereka.
“Ia juga secara tidak langsung membuka peluang kepada pelajar sekolah untuk menghayati semangat cinta kepada negara serta menghargai warisan budaya seperti pantun yang menjadi salah satu aset budaya, khususnya masyarakat Melayu serta Baba dan Nyonya,“ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Pantun Perpaduan Peringkat Negeri Melaka 2023 yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Melaka Intan Suhana Yusuff.
Ngwe berkata penganjuran program seumpama itu yang menggunakan Bahasa Melayu juga mampu meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan tersebut dalam kalangan murid bukan Melayu.
Dalam pada itu, beliau berkata lebih banyak program atau pertandingan berasaskan perpaduan akan dilaksanakan, melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur dalam usaha memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di Melaka.
Pertandingan Pantun Perpaduan Peringkat Negeri Melaka dianjurkan JPNIN negeri disertai 11 pasukan daripada lapan sekolah menengah kebangsaan di sekitar negeri itu yang terdiri daripada ahli Kelab Rukun Negara di sekolah masing-masing.
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Muhammad muncul johan dan membawa pulang wang tunai RM1,500, manakala tempat kedua dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Ghafar Baba (RM1,000) dan tempat ketiga menjadi milik Sekolah Menengah Arab Saidatina Khadijah A yang meraih RM750.
Para pemenang turut membawa pulang piala iringan dan sijil penyertaan. -Bernama