ALOR SETAR: Ibu seorang daripada anggota tentera yang maut dalam nahas di Gurun pagi tadi mengaku terkejut apabila mengetahui insiden itu namun reda dengan pemergian anaknya.

Ruzita Zulkifli, 58, ibu Lans Koperal Mohd Hafiz Haris, 30, yang maut bersama dua lagi anggota tentera dalam nahas di Kilometer 77.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Gurun pada kira-kira 10.30 pagi.

Wanita itu berkata dia amat terkejut apabila suaminya, Haris Hamzah, 71, yang menerima panggilan daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia memaklumkan bahawa anak mereka maut dalam kemalangan jalan raya.

“Pada awalnya saya tidak percaya dan mengatakan anak saya masih hidup tetapi apabila anak ketiga saya mengesahkan mengenai kejadian itu, baru saya percaya dan menerima hakikat bahawa dia telah meninggal dunia.

“Mak cik nak bisik dekat telinga dia, mak cik ampunkan dia, halalkan makan minum dan susu yang mak cik bagi pada dia, cuma itu sahaja mak cik nak bisik dekat dia... dia seorang anak yang baik,” katanya kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di sini hari ini.

Ruzita berkata Mohd Hafiz yang juga anak kedua daripada empat beradik adalah seorang yang taat pada agama dan bertanggungjawab kepada ibu bapa serta keluarga.

“Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Wajdi, Bukit Selambau sebaik urusan bedah siasat selesai,” katanya.

Adik ipar Allahyarham iaitu Ahmad Aizat Ishak, 27, pula berkata dia sudah memaklumkan kejadian itu kepada kakaknya yang juga isteri mangsa, Nur Hasni Ishak, 32.

Katanya isteri mangsa kini dalam perjalanan ke hospital dari rumah sewa pasangan itu di Pengkalan Hulu, Perak. -Bernama