KUALA LUMPUR: Pembukaan jalan sambungan dari Taman Dato' Senu 3 ke Jalan Kg Bandar Dalam, Sentul sepanjang 130 meter (m) di sini, memberi manfaat kepada lebih 50,000 penduduk sekitar, kata Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran.
Beliau berkata jalan sambungan berkenaan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Sentul yang kian meningkat sekali gus menamatkan penantian penduduk selama dua tahun bagi mendapatkan kemudahan itu.
“...sebelum ini, kami pernah mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya pembinaan jalan sambungan terbabit dipercepatkan.
“Apabila jalan sambungan ini dibuka, ia dapat mengurangkan kesesakan trafik bagi pengguna yang melalui jalan Taman Dato’ Senu sebagai akses ke pusat bandar dan Batu Muda,“ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian dan pembukaan jalan sambungan itu, hari ini, yang dirasmikan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh.
Prabakaran berkata, pihaknya akan mempertimbangkan permintaan penduduk untuk membina pemutus kelajuan bagi mengelakkan pemandu memandu laju susulan ketiadaan lampu isyarat di persimpangan laluan berkenaan.
Sementara itu, Kamarulzaman dalam ucapannya berkata Bandar Sentul Utama meliputi pembangunan hartanah seluas kira-kira 24.28 hektar dengan kemudahan rangkaian jalan raya utama perbandaran yang penting iaitu Jalan Sentul Perdana dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).
“Oleh itu, pemaju disyaratkan untuk membina dan menyiapkan jalan sambungan itu sebagai skim penyuraian trafik di Bandar Sentul Utama dan kawasan perumahan di sekitarnya sebagai satu syarat dalam kelulusan Perintah Pembangunan,“ katanya.
Jalan sambungan dari Taman Dato' Senu 3 ke Jalan Kg Bandar Dalam, Sentul itu dilengkapi laluan dua lorong beserta kemudahan siar kaki selebar 1.5 m di kedua-dua bahu jalan serta landskap cantik dan indah yang memenuhi spesifikasi asas pembinaan jalan.
Pembinaan jalan sambungan itu membabitkan kos RM8.5 juta meliputi kerja-kerja pembinaan fizikal dan pengambilan balik tanah, penyediaan lampu jalan jenis solar menjimatkan penggunaan tenaga yang merupakan projek rintis DBKL terhadap teknologi hijau di ibu kota.
“Saya yakin jalan sambungan ini dapat membantu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas setempat dan kesesakan trafik pada jalan keluar masuk di kawasan Sentul seperti Taman Dato’ Senu, Bandar Sentul Utama, Sentul Impian, Sentul Garden, Taman Sentul Jaya dan Taman Pelangi.
“Ia juga adalah jalan pintas menghubungkan Lebuhraya DUKE sekali gus memendekkan masa perjalanan kepada 30 minit lebih-lebih lagi pada waktu puncak,“ katanya. -Bernama