GOPENG: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak merekodkan peningkatan aduan pembakaran terbuka iaitu sebanyak 119 aduan bagi tempoh Januari hingga 22 Mac lepas berbanding 283 aduan sepanjang tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim berkata melihat peningkatan aduan diterima, JAS Perak akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti pembakaran terbuka bagi menangani pencemaran udara terutama ketika musim panas kini.

“Pembakaran sampah-sarap mencatatkan rekod tertinggi dengan 70 peratus atau 84 aduan yang kebanyakannya membabitkan kawasan kejiranan seperti taman perumahan, kediaman kampung dan bandar serta tapak pelupusan sampah haram.

“Selain itu kebakaran belukar dan hutan akibat pembersihan kawasan atau cuaca panas serta kering, pembakaran sisa tumbuhan oleh pekebun kecil serta pesawah dan pembakaran sisa binaan di tapak binaan turut menyumbang kepada kes ini,“ katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke kawasan pelupusan sampah haram bersebelahan Kawasan Perindustrian Ringan Gopeng, yang turut dihadiri Pengarah JAS Perak Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh.

Teh berkata JAS Perak turut menjalankan rondaan dan pemantauan dalam Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) di kawasan berpotensi berlakunya pembakaran terbuka seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah haram.

“JAS Perak menjalankan siasatan di kawasan titik panas atau ‘hotspot’ yang dicerap melalui satelit dan sepanjang Mac tahun ini sahaja kita telah kenal pasti 15 kawasan berbanding 26 kawasan pada tahun lepas.

“Pemantauan ini memberi perhatian secara visual menggunakan teknologi dron haba di kawasan berisiko bagi mengesan aktiviti pembakaran terbuka termasuk pemasangan kain rentang larangan supaya aktiviti ini dapat dicegah,“ katanya.

Sementara itu Dr Mohammad Ezzani mengingatkan pembakaran terbuka merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Beliau berkata mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh didenda hingga RM500,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, selain boleh dikompaun dan didenda RM2,000 bagi setiap kesalahan.

“Jadi kita nasihatkan orang ramai supaya menghentikan amalan membakar sampah-sarap yang dihasilkan di rumah sebaliknya mengurus sampah dengan lebih berhemah seperti pengasingan buangan dan kitar semula,“ katanya.

Menurutnya larangan pembakaran terbuka terhadap orang awam dan kesan terhadap kesihatan mereka juga ditingkatkan melalui media sosial dalam bentuk e-poster, infografik dan video pendek. -Bernama