BUKIT MERTAJAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 615 notis saman kepada penunggang motosikal dalam Ops Khas Motosikal yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar negeri ini, semalam.

JPJ Pulau Pinang, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan dalam operasi bermula jam 9 pagi hingga 11 malam itu, pihaknya turut menyita 33 buah motosikal kerana pelbagai kesalahan.

“Operasi tersebut dijalankan di Jalan Bukit Gambir, Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Plaza Tol Sungai Dua, Jalan Bagan, Jalan Butterworth dan Jalan Valdo,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, dalam operasi di persimpangan lampu isyarat di Jalan Telok Air Tawar, Butterworth dan Jalan Teluk Kumbar, sebanyak sebanyak 116 notis saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal yang melanggar lampu isyarat merah dan kesalahan lain.

Kesalahan lain ialah seperti tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans serta tidak memakai topi keledar.

Kenyataan itu memaklumkan Ops Khas Motosikal tersebut akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan penunggang motosikal mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image