KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara (IJN) komited untuk memajukan rawatan bagi kegagalan jantung dan meningkatkan kesedaran mengenai pendermaan organ, susulan kejayaan penyelesaian dua pembedahan pemindahan jantung.
IJN dalam kenyataan hari ini memaklumkan, dua pesakit remaja itu menerima pemindahan jantung pada Januari lepas dan kini semakin pulih selepas pembedahan.
“Kedua-dua pesakit didiagnosis dengan non-ischaemic dilated cardiomyopathy, penyakit otot jantung yang meregangkan dan menipiskan ruang jantung. Keadaan itu menyukarkan jantung mengepam darah ke seluruh badan dan kadangkala boleh mengakibatkan kegagalan jantung,“ menurut kenyataan itu.
Pada Januari, seorang pesakit berusia 19 tahun yang dalam senarai menunggu selama lapan bulan sejak Mei 2023 dan hanya bergantung kepada ubat, akhirnya menerima jantung baharu.
“Dengan rasa lega dan bersyukur, pesakit dibenarkan keluar dari IJN, menamatkan perjalanan yang mencabar dan permulaan babak baharu dalam kehidupan yang penuh dengan harapan dan kemungkinan,“ menurut IJN.
Pada 15 Jan, seorang pesakit berusia 18 tahun tiba di IJN disebabkan keadaan yang semakin teruk, namun tanggal 20 Feb, remaja itu menjalani pemasangan alat bantu ventrikal kiri (LVAD), membuka laluan untuk pemindahan yang berpotensi dilakukan.
“Ajaibnya, hanya lima hari selepas pemasangan, muncul penderma jantung yang sepadan. Penggunaan teknologi perubatan canggih dan komitmen tidak berbelah bahagi daripada pasukan perubatan IJN memainkan peranan penting dalam memastikan peralihan yang lancar daripada sokongan LVAD kepada pemindahan yang berjaya,“ menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif IJN Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim semasa taklimat media hari ini berkata IJN kini merupakan satu-satunya hospital di Malaysia yang menawarkan pemindahan jantung dan paru-paru serta pemasangan jantung mekanikal yang disokong oleh pasukan pelbagai disiplin yang terlatih.
Selepas memperkenalkan pemindahan jantung dan paru-paru di Malaysia masing-masing pada 1997 dan 2005, IJN menjadi yang pertama di negara melakukan pemasangan jantung mekanikal pada 2005 dan pemindahan jantung – paru-paru pertama pada 2007.
Sehingga kini, institut berkenaan berjaya membuat 29 pembedahan pemindahan jantung, enam pemindahan paru-paru, enam pemindahan jantung – paru-paru, 36 pemasangan LVAD dan tujuh prosedur LVAD ke pemindahan jantung.
“Kami gembira meraikan dua kejayaan perubatan ini, terutamanya selepas terhenti dalam pembedahan pemindahan susulan kekurangan penderma organ. Kejayaan ini juga bukti kekuatan komuniti kita. Kami berterima kasih kepada pelbagai pihak yang membantu mengubah kehidupan dua pesakit remaja ini,“ katanya.
Dr Aizai Azan berkata walaupun dua pemindahan jantung terbaharu itu menonjolkan kekuatan IJN dalam menguruskan kes jantung yang kompleks, institut itu juga menekankan keperluan kritikal untuk meningkatkan penyertaan penderma organ di Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi IJN Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan atas sokongan terhadap Program Jantung, Pemindahan Paru-paru dan Jantung Mekanikal IJN.
“Sokongan dan geran kementerian bagi program ini memanfaatkan 77 pesakit setakat ini. Kami berharap kerjasama ini diteruskan untuk membantu menawarkan peluang menyelamatkan nyawa kepada lebih ramai pesakit dan amat mengalu-alukan kerjasama dengan sektor korporat bagi tujuan ini,“ katanya.
Mengulangi impak pendermaan organ terhadap individu dan keluarga, Dr Noor Hisham berkata, “Setiap penderma organ yang berdaftar mempunyai potensi untuk mengubah kekecewaan kepada pengharapan. Dengan hanya mendaftar, anda juga dapat menghadiahkan kehidupan kepada pesakit memerlukan”.
Beliau berkata setakat ini, sebanyak 382,000 telah berikrar menjadi penderma organ di Malaysia, namun 0.02 peratus daripada jumlah itu masih enggan menderma organ mereka kerana stigma negatif dan pertikaian keluarga.
“Kerajaan sentiasa memberi geran ataupun dana dan kita mahu kembangkan dan majukan lagi pendermaan organ seperti negara Turkiye yang maju dalam pemindahan organ,” katanya yang berharap ramai tampil untuk menjadi penderma organ. -Bernama
Pengerusi IJN Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (dua, kanan)/BERNAMApix