SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor tidak berhasrat meneruskan cadangan pembinaan projek lebuh raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) di kawasan Petaling Jaya dan memutuskan untuk membatalkan permohonan pembinaan lebuh raya tersebut.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata keputusan itu dibuat dengan prinsip supaya pembangunan di Selangor mencapai keseimbangan antara kemampanan, kemajuan ekonomi negeri serta tidak membawa kemudaratan kepada rakyat.
Beliau berkata pada awalnya cadangan pembinaan lebuh raya itu mendapat kelulusan prinsip daripada Jemaah Menteri Persekutuan pada 12 Nov 2017 yang kemudian dibawa kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) pada 3 Sept 2020 dan diberi ruang untuk kajian dijalankan dengan melibatkan penduduk di kawasan Petaling Jaya.
“Seterusnya, cadangan ini dibentangkan kepada Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan pada 12 November 2021 melalui Memorandum Jemaah Menteri untuk kelulusan bersyarat supaya cadangan ini memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, Amirudin berkata perjanjian konsesi antara Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional dan pemaju berkenaan telah ditandatangani pada 5 April 2022 dengan syarat syarikat berkenaan melaksanakan secara penuh Kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Kajian Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Kajian Penilaian Impak Trafik (TIA) sebelum perjanjian diaktifkan.
“Berkait dengan laporan penilaian impak yang dikemukakan, terutamanya dari segi laporan impak sosial, pentadbiran ini tidak berpuas hati dengan pelan yang dikemukakan kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.
“Oleh yang demikian, Kerajaan Selangor tidak berhasrat untuk meneruskan dengan cadangan ini dan memutuskan untuk membatalkan permohonan pembinaan lebuh raya PJD Link,” katanya. -Bernama