KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Tenaga Nasional Bhd (TNB) merosot kepada RM2.77 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 daripada RM3.46 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Syarikat utiliti elektrik itu mencatatkan keuntungan operasi yang lebih rendah sebanyak RM7.36 bilion bagi tahun dalam tinjauan, susut sebanyak 21.8 peratus daripada RM9.41 bilion sebelumnya.

“Ini kebanyakannya disumbangkan oleh margin bahan api negatif pada tahun ini (sebagai tambahan kepada) kemerosotan nilai pada aset tidak ketara,” kata TNB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagaimanapun, hasilnya meningkat kepada RM53.07 bilion daripada RM50.87 bilion yang dicatatkan sebelum ini kebanyakannya disebabkan oleh jualan elektrik yang lebih tinggi.

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2023, keuntungan bersih TNB merosot kepada RM583.90 juta daripada RM809.10 juta manakala hasil naik kepada RM13.65 bilion daripada RM12.92 bilion.

Melangkah ke hadapan, TNB berkata ia menjangkakan prestasi yang munasabah untuk tahun 2024 dengan ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara empat peratus dan lima peratus, bagaimanapun ia akan berhati-hati menghadapi cabaran yang akan datang.

“Memandangkan kumpulan itu berusaha untuk pertumbuhan perniagaan, ia akan terus mengambil langkah berhemat dari segi keperluan operasi dan kewangannya untuk memastikan ia kekal berdaya tahan,“ kata TNB. -Bernama