KAJANG: Tiada sebarang perubahan terhadap prosedur operasi standard (SOP) ketika mengendalikan haiwan berbisa kerana SOP terkini yang diguna pakai anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ketika ini adalah lengkap.
Ketua Pesuruhjaya APM Aminurrahim Mohamed berkata ketika kejadian anggota APM itu, Lans Koperal Mohd Idris Abdul Samad telah memakai peralatan lengkap seperti sarung tangan dan mengikut SOP yang betul ketika menguruskan seekor ular tedung.
“SOP telah lengkap, ini bukan silap sesiapa. Bukan salah SOP atau individu itu sendiri. Allahyarham (Mohd Idris) merupakan anggota yang mahir dan memiliki pengalaman lebih 10 tahun dalam mengendalikan haiwan berbisa.
Kami sangat terkesan dan bukan semua orang boleh kendalikan ular tedung. Ini satu kehilangan yang besar kepada APM kerana beliau seorang yang pakar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kematian Mohd Idris, 34, semalam selepas dua hari dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) di Kelantan setelah dipatuk ular tedung.
Sementara itu, APM telah mengumpulkan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada Allahyarham Mohd Idris.
“Sumbangan RM30,000 ini termasuk dengan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial), insurans dan orang awam. Hasil sumbangan ini akan diserahkan kepada waris Allahyarham Mohd Idris,” katanya dalam sidang media pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri APM di Ibu Pejabat APM, di sini, hari ini.
Semalam, media tempatan melaporkan Mohd Idris meninggal dunia selepas dua hari mendapatkan rawatan di hospital di Kubang Kerian, Kelantan susulan dipatuk ular tedung.
Susulan itu, Pengarah APM Kelantan Mohd Adzhar Mujab dilaporkan berkata anggota berkenaan ketika itu bertugas di APM Tunjong, Kota Bharu hendak mengalihkan ular tedung yang diletakkan dalam guni ke sangkar.
Katanya, ular itu ditangkap sebuah kampung di Kota Bharu pada malam Sabtu lepas dan Mohd Idris mahu mengalihkan haiwan berbisa itu ke sangkar namun, berlaku insiden di luar jangka apabila celah ibu jari kanan arwah dipatuk dan ketika mengendalikan haiwan berbisa itu, arwah memakai sarung tangan. -Bernama