KOTA KINABALU: Set permainan tradisional, congkak yang menjadi sebahagian kraftangan unik yang dipamerkan, menarik perhatian Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, sehingga baginda membelinya untuk dijadikan cendera kenangan.
Congkak yang dihasilkan kayu pokok Seraya yang berkualiti oleh penghuni Penjara Sandakan itu, merupakan antara kraftangan yang dipamerkan semasa lawatan baginda ke Penjara Wanita Kota Kinabalu, sempena Kembara Kenali Borneo, di sini hari ini.
Ketua Inspektor Penjara Sandakan merangkap Ketua Unit Vokasional dan Industri Nurhana Parlan berkata congkak berkenaan, merupakan hasil kraftangan tangan daripada penghuni yang berada dalam fasa kemahiran.
Beliau berkata congkak berkenaan, telah dibawa ke pameran itu sempena lawatan Raja Permaisuri Agong dan tidak menyangka ia menarik perhatian Tunku Azizah.
“Kami berasa amat berbangga kerana Tuanku berminat untuk membeli hasil produk banduan yang sedang menjalani tahanan di penjara Sandakan,” katanya kepada Bernama.
Selain congkak, Nurhana berkata antara produk lain yang dihasilkan oleh Penjara Sandakan termasuklah kapal layar serta kotak tisu daripada manik.
Antara kraftangan lain yang dipersembahkan dalam pameran itu termasuk jam tangan, keris, rantai kunci, produk makanan My Pride seperti tart nanas dan kuih makmur, kek cawan dan kek.
Sementara itu, Koperal Cosmas Ubih dari Pusat Koreksional Labuan berasa teruja apabila Tunku Azizah bertitah agar pusat itu menjalin kerjasama dengan kolej lain, dalam menghasilkan kek serta kek cawan.
Cosmas berkata baginda berharap kerjasama sedemikian akan dapat menambah kemahiran di pusat berkenaan, yang menempatkan seramai 570 orang penghuni.
Terdahulu, keberangkatan tiba Raja Permaisuri Agong di Penjara Wanita Kota Kinabalu disambut oleh isteri Yang Dipertua Negeri Sabah Toh Puan Norlidah R.M Jasni, isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Ruziah Mohd Tahir (isteri kepada Datuk Seri Fadillah Yusof) dan isteri Ketua Menteri Sabah Datin Seri Juliah Salag.
Tunku Azizah turut ditemani paduka anakanda Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah dan dipersembahkan dengan tarian silat Gayung Patani, sebelum dibawa melawat untuk melihat produk pastri yang dihasilkan oleh penghuni penjara wanita berkenaan. -Bernama