• 2024-01-08 07:18 PM

JERANTUT: Lebih 3,000 pelajar di Pahang telah menerima manfaat menerusi Program Bantuan Pendidikan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) yang melibatkan peruntukan RM573,500 sejak ia dilaksanakan tiga tahun lepas.

Program itu bertujuan membantu pelajar Melayu dan Bumiputera asnaf serta golongan B40 yang menetap di enam daerah iaitu Bera, Jerantut, Maran, Pekan, Rompin dan Temerloh yang merupakan kawasan di bawah Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) Bubar.

Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ramlan Harun berkata kementerian menerusi agensi di bawahnya serius dalam memberi penekanan terhadap pembangunan pendidikan di kawasan luar bandar dan pendalaman.

Bagaimanapun beliau berkata usaha itu perlu dipergiat dengan kerjasama pelbagai pihak melalui penyediaan akses pendidikan, dan penyediaan bantuan yang dapat memberi manfaat kepada pelajar, dan penerapan terhadap kempen kesedaran mengenai kepentingan pendidikan.

“Percayalah bahawa bidang pendidikan bukan sahaja bertujuan meningkatkan pengetahuan seseorang, tetapi ia juga dapat membantu kita untuk meningkatkan keyakinan diri serta menghapus sikap rendah diri selain membolehkan kita bersaing setanding dengan masyarakat lain.

“Saya mengharapkan agar anak-anak yang menerima manfaat pada hari ini dapat mengambil kesempatan sebaik-baiknya atas peluang yang diberikan. Semoga pelajar ini nanti menjadi orang yang berjaya dan boleh membantu semula kepada komuniti,“ katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap ketika merasmikan program berkenaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Kuala Tahan, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi YPM Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.

Program Bantuan Pendidikan YPM memberi bantuan berbentuk kewangan, peralatan persekolahan, peranti elektronik dan program pendidikan kepada pelajar luar bandar bagi meneruskan sesi persekolahan bagi mengelakkan berlakunya keciciran semasa mengikuti pembelajaran.

Bercakap kepada pemberita beliau memaklumkan pada program hari ini lebih 120 pelajar telah menerima bantuan kit permulaan sekolah yang terdiri daripada pakaian seragam dan beg sekolah bernilai RM150.

Katanya bantuan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu antara lain bagi meringankan beban ibu bapa dalam membuat persediaan untuk sesi persekolahan akan datang. -Bernama