Lima anak anggota bomba lemas terima bantuan persekolahan daripada JBPM

BUKIT MERTAJAM: Kebajikan keluarga Allahyarham Mohd Izwan Illias, 42, anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terkorban selepas lemas ketika menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin NBPM Mak Mandin, Butterworth pada 22 Feb lepas, terus mendapat perhatian JBPM.

JBPM diwakili Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Datuk Ahmad Izram Osman dan Persatuan Kebajikan JBPM hari ini tampil memenuhi tanggungjawab kepada anggotanya dengan menyantuni lima anak arwah berusia enam hingga 16 tahun, membeli persiapan sekolah.

Ahmad Izram yang juga Yang Dipertua Persatuan Kebajikan JBPM berkata selain pakaian sekolah, pihaknya juga menaja pakaian raya buat kelima-lima anak arwah menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

“Kalau nak dibandingkan dengan sumbangan arwah dengan apa yang kita sumbangkan hari ini, tidak sama nilainya tapi kami rasa terpanggil untuk membantu keluarga arwah,“ katanya.

Kegembiraan jelas terpancar pada wajah anak-anak arwah Mohd Izwan walaupun masing-masing mengakui merindui bapa mereka kerana pertama kali membeli barang persiapan sekolah tanpa ditemani tonggak keluarga.

Mewakili keluarganya, anak sulung arwah, Ilham Zulfaqar,16, mengucapkan terima kasih serta melahirkan rasa gembira atas sumbangan bantuan berupa pakaian, beg dan kasut sekolah.

“Hari ini beli baju, seluar, stokin, kasut dan beg sekolah...terima kasih kepada semua pihak terutama pihak bomba yang membawa kami membeli barang keperluan sekolah, alhamdulillah kami termasuk mak semua okay,“ katanya kepada pemberita selepas membeli kelengkapan sekolah di Pasaraya Pakaian Hari-Hari, di sini hari ini.

Anak kedua Mohd Izwan, Ihsan Zulfaqar, 15, turut berasa rindu dengan kenangan membeli barang kelengkapan sekolah bersama bapanya setiap tahun.

“Ayah cakap mai (datang) beli baju sekolah dengan dia minggu ini, sebab sekolah dah nak buka, tapi ayah tak dan (tak sempat) bawa kami dan hari ini bomba mai (datang) tolong beli, terima kasih semua,” katanya.

Ilham Zulfaqar, Ihsan Zulfaqar dan Jannatul Husna,13, bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Muda manakala Izzul Zulfaqar, 10, dan Jenaira Aisyah, enam tahun di Sekolah Kebangsaan Penaga.

Ibu arwah Mohd Izwan, Rahmah Che Din, 69, turut menzahirkan penghargaan atas bantuan JBPM menyantuni cucu-cucunya.

“Sebelum ini memang arwah bercadang hari Isnin lepas baru ini dia nak bawa anak-anak beli baju dan persiapan sekolah, tapi Jumaat tu arwah dah tiada (meninggal dunia)...Alhamdulillah hari ini pihak bomba bawa anak-anak arwah beli barang keperluan sekolah, kami bersyukur sangat-sangat,“ katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pakaian Hari-Hari Datuk Amilludin Latip berkata lima anak arwah Mohd Izwan akan menjadi anak angkat kepada pusat pakaian itu dan mereka akan menerima tajaan pakaian sekolah sepanjang sesi persekolahan.

“Sepanjang zaman persekolahan mereka, kami di Pusat Pakaian Hari-Hari akan menaja pakaian sekolah anak-anak ini, sama-samalah kita buat kerja amal untuk anak-anak yatim ini bersama JBPM,“ katanya. -Bernama

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Datuk Ahmad Izram Osman

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image