GEORGE TOWN: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang masih membantah Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang diminta untuk melihat manfaat projek itu khususnya dari segi pembangunan sosioekonomi kepada rakyat dalam jangka masa panjang.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata projek berkenaan telah melalui pelbagai proses dan sesi libat urus panjang yang melibatkan orang ramai dan NGO sebelum diluluskan.

“Kita harap NGO terlibat yang membantah projek LRT itu dapat melihat projek ini secara keseluruhannya, malah projek itu disokong rakyat, iaitu di dalam sesi libat urus sokongan rakyat terhadap projek ini adalah lebih 90 peratus.

‘’Ini adalah masa untuk pelaksanaan, sekiranya ada isu, ia akan diuruskan oleh syarikat yang dilantik untuk melaksanakan projek itu dan kami berharap mereka yang masih ragu-ragu dapat melihat gambaran yang lebih besar,“ katanya pada sidang akhbar sempena Aspen-Klippa Penang Bridge International Marathon 2024 di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media tempatan berhubung beberapa NGO alam sekitar termasuk Sahabat Alam Malaysia (SAM) yang pernah meminta kerajaan mengkaji semula cadangan pembangunan LRT di negeri ini kerana mendakwa ia melibatkan kos tinggi selain anggaran penggunaan yang berlebihan.

Chow berkata beliau sedar bahawa projek LRT itu tidak dapat menyelesaikan 100 peratus masalah kesesakan lalu lintas, namun ia satu usaha dan permulaan untuk kerajaan negeri dalam membantu rakyat yang saban hari terpaksa berdepan dengan isu lalu lintas.

Menyentuh mengenai kos projek yang dikatakan agak tinggi, Chow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi berkata kos kira-kira RM10.5 bilion itu diambil kira dari segi sistem dan reka bentuk tren yang akan digunakan.

Kos berkenaan juga, katanya akan ditentukan selepas permintaan untuk cadangan (RFP) dijalankan dan dimuktamadkan.

Jumaat lepas, kerajaan Persekutuan secara rasmi mengambil alih projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang daripada kerajaan negeri dan keputusan itu dicapai susulan keputusan Jemaah Menteri yang meluluskan cadangan pembangunan projek berkenaan pada 22 Mac lepas.

Jajaran LRT Mutiara yang disasarkan beroperasi pada 2030 itu bermula dari Pulau Silikon hingga ke Komtar, seterusnya menyeberang ke Penang Sentral di Seberang Perai.

Mengenai Aspen-Klippa Penang Bridge International Marathon 2024, Chow berkata ia akan berlangsung pada 15 Dis ini di Aspen Vision City di Batu Kawan dengan larian melintasi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Beliau menjangkakan 30,000 peserta akan mengambil bahagian dalam maraton yang julung kali diadakan di tanah besar dengan tiga kategori pertandingan iaitu maraton penuh (42km), separuh maraton (21km) dan larian 10km. -Bernama