• 2024-02-08 08:35 PM

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan pembebasan Samirah Muzaffar (gambar) dan dua remaja daripada pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan, enam tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan dan melepaskan Samirah dan dua lagi remaja daripada pertuduhan membunuh.

Dua lagi hakim di dalam panel itu ialah Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.

Pada 21 Jun 2022 Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Samirah, 49 yang juga balu Nazrin dan dua lagi remaja masing-masing kini berusia 21 dan 18 daripada pertuduhan membunuh Nazrin selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membukitikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga mereka.

Ketiga-tiga mereka dan seorang wanita rakyat Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas didakwa membunuh Nazrin, 45, di kediamannya di Mutiara Damansara antara pukul 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga 4 pagi hari berikutnya.

Ketika membacakan keputusan, Vazeer Alam berkata pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan kes pembunuhan kerana keterangan adalah mengikut keadaan dan terdapat bukti daripada saksi bahawa hubungan antara simati dan responden (Samirah dan dua remaja itu ) adalah baik.

Hakim itu seterusnya berkata pendakwaaan membangkitkan “the last seen theory” untuk menunjukkan terdapat kaitan antara responden kepada kematian Nazrin.

“Dalam hal ini, hakim yang membicarakan kes ini agak tepat untuk mengesan kegagalan dalam membuktikan masa kematian Nazrin dan ‘the last seen theory’ tidak boleh dipakai untuk membuktikan kaitan antara responden dengan kematian simati.

Selanjutnya, kami mendapati pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bukti meyakinkan mengenai motif terhadap mana-mana responden untuk membunuh Nazrin,” katanya.

Vazeer Alam juga berkata dakwaan dibangkitkan pendakwaan mengenai motif kewangan, niat simati untuk menceraikan Samirah dan hubungan tidak baik antara Nazrin dengan responden kedua dan ketiga juga tidak jelas.

“Ketika bergantung kepada motif, ia mesti dibuktikan dengan memuaskan berdasarkan bukti jelas. Bukti motif perlu jelas dan tidak kabur.

Bahkan, bertentangan dengan kenyataan pendakwaan, terdapat bukti daripada pemandu dan pembantu peribadi simati mengenai hubungan baik antara simati dengan Samirah,” kata hakim itu.

Vazeer Alam juga berkata bukti daripada mesej teks dalam telefon Samirah beberapa hari sebelum kematian Nazrin menunjukkan hubungan suami isteri yang baik, normal dan intim.

Beliau berkata mahkamah mendapati tiada niat bersama antara ketiga-tiga responden dan bekas pembantu rumah mereka untuk membunuh Nazrin.

Hakim itu juga berkata dalam pihak berkuasa mendakwa bekas pembantu rumah itu masih bebas, dia sebenarnya berada di Kuching pada satu masa tetapi polis tidak pernah cuba menahannya.

Mengenai dapatan oleh Mahkamah Tinggi bahawa kebakaran itu bukannya kemalangan tetapi dilakukan dengan sengaja, Vazeer Alam berkata panel hakim bersetuju tiada bukti mencukupi untuk membuktikan kebakaran itu sengaja dibuat kerana terdapat percanggahan bukti daripada penyiasat Jabatan Kimia Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Hakim itu juga berkata testimoni mengenai petrol dan analisis yang dibuat ke atasnya tidak menggunakan kaedah yang diperakui dan penyiasat meninggalkan langkah-langkah penting untuk menganalisis petrol.

Beliau berkata mahkamah mendapati tiada sebab untuk jasad daripada katil dialihkan ke lantai jika terdapat niat untuk memusnahkan bukti jenayah dengan melakukan pembakaran secara sengaja.

Pada 30 Jun 2022, Samirah dan remaja berkenaan memfailkan rayuan untuk mencabar beberapa dapatan fakta oleh Mahkamah Tinggi, termasuk dapatan bahawa kebakaran di bilik Nazrin dilakukan dengan sengaja.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mewakili Samirah dan dua remaja itu sementara pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim.-Bernama