MELAKA: Kematian suami akibat kanser pankreas dalam tempoh yang singkat selepas didiagnosis penyakit itu pada September tahun lepas, hampir membuatkan Siti Maziah Ab Manap hilang tempat bergantung.

Siti Maziah, 43, berkata pada mulanya sakit perut dialami arwah suaminya, Mohd Fazli Mohd Saad sekitar Ogos lepas disangkakan gastrik, namun kesakitan itu berpanjangan dan disahkan mempunyai tumor pada pankreasnya sebelum meninggal dunia pada 19 Jan lepas.

Ibu tunggal tiga anak itu berkata dia bersyukur kerana arwah suaminya yang bekerja sebagai pemandu treler muatan tong gas merupakan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Hal ini sekali gus melayakkannya menerima pencen penakat sebanyak RM1,698.13 sebulan selain faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 secara sekali bayar.

“Faedah Perkeso ini meringankan beban kewangan kerana saya merupakan suri rumah sepenuh masa sejak berkahwin pada 2008,“ katanya.

Siti Maziah ditemui pemberita pada Program Penyampaian Faedah Skuad Perkeso Prihatin oleh Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem di rumahnya di Kampung Tehel, Bemban, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Perkeso Melaka Abd Razak Omar.

Menurut Siti Maziah, pencen penakat yang diterima itu akan digunakan untuk membesarkan tiga anaknya Syifa Zulaikha, 15, Muhammad Syafi Zuhaily, 12, dan Syafiah Zuhaira, 7, serta memastikan mereka mendapat pelajaran yang sebaiknya.

Sementara itu, Ngwe berkata semua pekerja perlu memastikan majikan mereka mencarum dengan Perkeso dan sekiranya majikan culas menjalankan tanggungjawab, aduan boleh disalurkan ke Pejabat Perkeso Melaka bagi tindakan lanjut.

Beliau berkata golongan bekerja sendiri juga dinasihatkan mencarum supaya keluarga atau diri mereka mendapat manfaat sekiranya berlaku kemalangan atau sakit ketika bekerja.

“Seperti yang menimpa arwah Mohd Fazli, manfaat yang diperoleh diterima isteri dan tiga anak mereka, pencen penakat ini diharap dapat mengurangkan beban Puan Siti Maziah dan anak-anak,“ katanya. -Bernama