VIENTIANE: Jambatan Persahabatan Laos-Thailand kelima yang menghubungkan wilayah Bolikhamxay di Laos dengan wilayah Bueng Kan di timur laut Thailand dijangka dibuka pada Disember 2025, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan serantau dan antarabangsa serta memupuk perdagangan, pelaburan, pelancongan dan pertukaran antara rakyat kedua-dua negara, lapor Xinhua.
Majlis menuang konkrit bagi jambatan berkenaan diadakan pada Jumaat di wilayah Bolikhamxay dan dihadiri Timbalan Perdana Menteri Laos Saleumxay Kommasith, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan Thailand Suriya Jungrungreangkit serta pegawai dari kedua-dua negara.
Menurut laporan Lao Economic Daily pada Sabtu, projek itu merupakan sebahagian penting daripada pelan pertumbuhan mampan Laos dan akan membantu negara berkenaan menambah baik infrastruktur serta meningkatkan hubungan di peringkat serantau dan antarabangsa.
Jambatan sepanjang 1,350 meter itu menandakan kemajuan besar dalam kerjasama dua hala, dengan 98.4 peratus kerja pembinaan di bahagian Laos serta semua jalan masuk dan kemudahan imigresen telah siap.
Jambatan berkenaan dijangka mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua wilayah sehingga tiga jam, sekali gus merancakkan perdagangan dan pelancongan.