HAMBURG: Sebuah bungkusan terbiar dalam kereta api ekspres antara bandar mencetuskan kekecohan di stesen Altona, Hamburg pada pagi Jumaat, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Polis memaklumkan pada Sabtu bahawa satu platform di hab kereta api di utara bandar itu telah dikosongkan selepas bungkusan itu ditemukan oleh petugas kereta api.

Satu pasukan pemusnah bom segera dikerahkan untuk memeriksa bungkusan berkenaan dan mendapati ia hanya mengandungi sebuah pemutar piring hitam lama.

Operasi keselamatan selesai sepenuhnya menjelang tengah hari.

Bungkusan itu kemudiannya diserahkan kepada pihak pengurusan kereta api sebagai barang hilang.