the sun malaysia ipaper logo 150x150
Saturday, July 25, 2026
28.8 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Maritim tahan dua kapal tangki disyaki pindah minyak mentah tanpa kebenaran

ALOR GAJAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menahan dua kapal tangki disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak mentah tanpa kebenaran di perairan Kuala Linggi di sini petang semalam.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata pusat operasi menerima maklumat mengenai aktiviti mencurigakan di perairan berkenaan kira-kira 4.15 petang sebelum memaklumkan kepada pasukan bot peronda Maritim yang sedang melaksanakan Op Murni/Op Tiris/Op Khas Pagar Laut.

“Sebaik sahaja bot ronda Maritim tiba di kawasan dilaporkan, terdapat dua kapal disyaki sedang melakukan aktiviti ‘ship to ship’ (STS) yang mencurigakan di kedudukan tiga batu nautika selatan Tanjung Dahan.

“Pemeriksaan mendapati kapal tangki berkenaan sedang memindahkan kargo minyak disyaki minyak mentah ke sebuah lagi kapal tangki lain tanpa mempunyai sebarang dokumen kebenaran untuk menjalankan aktiviti itu,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kapal tangki pertama sepanjang 60 meter yang berdaftar di Panama dikendalikan 26 kru termasuk nakhoda terdiri 16 warga China, Sri Lanka (empat) dan Myanmar (enam).

Beliau berkata kapal tangki kedua sepanjang 43 meter itu pula didaftarkan di Palau dan dikendalikan 22 kru, termasuk nakhoda terdiri 19 warga Rusia dan masing-masing seorang warga Georgia, Latvia dan Indonesia.

Kedua-dua kapal berkenaan masing-masing ditahan pada 4.30 petang dan 6 petang bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana menjalankan aktiviti STS tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan 491B(1)(L) OPS 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran.

Beliau berkata bagi Seksyen 491B(1)(K) OPS 1952 jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Maritim sentiasa peka dan serius melaksanakan pemantauan operasi dan penguatkuasaan agar komuniti di laut sentiasa patuh kepada undang-undang yang digariskan oleh pihak berwajib.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat salah laku dan kecemasan di laut boleh melaporkan segera ke Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi 24 jam,“ katanya. –Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

‘Ladies here, you need to respect them’ – French travel show highlights Rapid KL’s...

“You might see a group of women trying to push you out of the train!” the commuter laughed. “But in the worst-case scenario, you could be reported. They could pull the alarm, report you to an officer on the platform, and the officer would ask you to leave.”

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings