BOGOR (Jawa Barat): Kerajaan komited untuk memastikan pelaburan yang dibuat oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam syarikat domestik dan antarabangsa menghasilkan pulangan yang konsisten dan kukuh, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata antaranya adalah potensi untuk mengeluarkan lebih banyak produk di Indonesia, seperti yang dihasilkan melalui kilang farmaseutikal PT Errita Pharma di Bandung dengan kini 118 produk, sebagaimana Pharmaniaga Bhd di Malaysia yang menghasilkan 380 jenis ubat.

“Kita perlu tingkatkan penjualan dan pengedaran serta margin. Mengenai cabaran pinjaman dari institusi kewangan dan sebagainya juga perlu diperbaiki.

“Sewajarnya kita boleh menjangkakan pulangan yang lebih baik untuk LTAT...dengan syarikat-syarikat seperti PT Errita Pharma yang dimiliki 100 peratus oleh Pharmaniaga,“ katanya kepada pemberita selepas melawat anak syarikat Pharmaniaga iaitu PT Millennium Pharmacon International (MPI) Tbk di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan perniagaan Pharmaniaga serta impak positif kepada LTAT dalam konteks kewangan dan pemberian dividen kepada 123,380 pencarum terdiri daripada anggota-anggota tentera.

LTAT mempunyai pegangan 57 peratus saham dalam syarikat farmaseutikal Pharmaniaga melalui Boustead Holdings. Pharmaniaga pula memiliki 73 peratus pegangan saham dalam MPI.

Lawatan ke syarikat pengedaran produk farmaseutikal, makanan tambahan dan peranti perubatan MPI adalah agenda pertama Mohamed Khaled sempena lawatan kerja rasmi sulung ke Indonesia sejak memegang jawatan Menteri Pertahanan.

Beliau diiringi Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Isham Ishak, Atase Pertahanan Brig Jen Azrin Iskandar Zulkaply dan Penolong Atase Pertahanan Komander Nor Izam Baharuddin dan Pengarah Eksekutif Pharmaniaga Zulkifli Jafar.

Mohamed Khaled Nordin dijadualkan bertemu Menteri Pertahanan Prabowo Subianto, yang juga Presiden Terpilih Indonesia, pada Selasa.