PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan memperuntukkan RM1.165 juta sebagai tajaan untuk melengkapkan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada seramai 50,000 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah yang bekerja sendiri.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata jumlah itu, untuk membiayai baki caruman sebanyak 10 peratus atau RM23.30 bagi melayakkan individu berkenaan mendapat perlindungan selama setahun.

“Tajaan ini terbuka kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah yang mempunyai kad pemandu serta lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) masih aktif.

“Baki 10 peratus itu ditaja MOT melalui hasil penjualan nombor pendaftaran istimewa ‘GOLD’, di mana sejumlah RM1.165 juta untuk dimanfaatkan 50,000 individu,” katanya selepas majlis pelancaran tajaan caruman SKSPS, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Kerajaan dalam Belanjawan 2024 memperuntukkan RM100 juta untuk Geran Padanan Caruman SKSPS yang dapat memanfaatkan 500,000 individu bekerja sendiri, dengan insentif caruman ditanggung kerajaan sebanyak 90 peratus.

Inisiatif itu dapat meringankan beban pencarum dengan hanya membayar baki 10 peratus iaitu RM23.30 untuk perlindungan selama 365 hari atau bersamaan enam sen sehari.

Loke berkata sebanyak RM17 juta dijana melalui penjualan nombor pendaftaran ‘GOLD’ yang dibuka bidaan pada 1 Feb, sempena sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50.

Beliau berkata hasil perbincangan dengan Kementerian Kewangan, sebanyak RM8.5 juta dikembalikan kepada MOT untuk melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk tajaan caruman.

Loke berkata selain pemberian tajaan sebanyak 100 peratus, satu lagi elemen yang penting bagi memastikan liputan perlindungan SKSPS yang luas untuk pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah adalah untuk mendaftar mereka secara automatik.

Sementara itu, Sim berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyasarkan penyertaan sekurang-kurangnya 500,000 pencarum SKSPS tahun ini.

Beliau berkata SKSPS memberi faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, faedah orang tanggungan dan sebagainya.

Perlindungan terhadap pencarum dibuktikan menerusi rekod pembayaran faedah tahun ini yang mencecah RM3.5 juta sehingga 3 Mac, berdasarkan 755 kes tuntutan yang dimohon pencarum bawah SKSPS.

Beliau berkata berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) suku ketiga 2023, seramai 2.98 juta rakyat Malaysia bekerja sendiri, namun hasil semakan rekod caruman SKSPS setakat 3 Mac lepas mendapati hanya 14.56 peratus bersamaan 433,881 pencarum aktif bagi individu bekerja sendiri direkodkan Perkeso. -Bernama