• 2023-08-29 09:47 PM

KUALA LUMPUR: Pelancaran inisiatif Pakej 5G Rahmah hari ini, memberi manfaat yang lebih menyeluruh dan mencakupi semua lapisan masyarakat di negara ini.

Zuriani Aimi Mustaffa, 45, dari Kuala Terengganu, Terengganu berkata inisiatif itu, memberi isyarat positif kepada golongan M40 seperti beliau yang sebelum ini dilihat kurang mendapat faedah untuk mana-mana inisiatif kerajaan.

“Pakej 5G Rahmah ini bagus, kerana manfaatnya boleh dinikmati semua peringkat masyarakat. Terima kasih kerajaan Madani kerana memikirkan inisiatif baik untuk rakyat,” kata pekerja swasta itu kepada Bernama, hari ini.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil melancarkan Pakej 5G Rahmah, yang akan ditawarkan untuk semua rakyat Malaysia bermula 31 Ogos ini hingga Disember.

Inisiatif itu akan menawarkan spesifikasi asas pelan data (device bundle) melibatkan telefon pintar berharga tidak melebihi RM240 berserta pelan pascabayar serendah RM60 sebulan dengan data minimum 60GB.

Ahmad Rafizal Abdul Rahman, 39, pekerja swasta berkata pelancaran Pakej 5G Rahmah itu selari dengan situasi semasa, yang mana capaian Internet pantas ialah satu keperluan untuk orang ramai menjalankan tugas harian.

“Capaian Internet ialah kemudahan yang sangat diperlukan ketika ini, bagi mereka yang menjalankan perniagaan secara dalam talian dan juga pelajar. Tawaran kerajaan ini sesuai dengan situasi semasa,” katanya ketika ditemui di Kuantan, Pahang.

Pelajar di sebuah universiti tempatan di Melaka Nurhanani Jasni, 25, juga menyatakan hasrat untuk beralih kepada pakej ditawarkan kerajaan, memandangkan pelan pascabayar semasa beliau yang bernilai RM58 sebulan dengan data 40 gigabyte (GB), tidak mencukupi.

“Saya harap pakej 5G kerajaan ini beri akses internet yang lebih lancar. Saya perlu menyiapkan tesis dan membuat banyak rujukan jurnal secara dalam talian... tugasan dan pembacaan juga secara dalam talian,” katanya.

Pekerja p-hailing dari Alor Setar, Kedah, Muhammad Akif Azhar, 25, berkata inisiatif itu memberi peluang kepada golongan B40 untuk mendapatkan telefon pintar dengan kadar yang lebih murah daripada harga pasaran biasa.

Beliau berkata sebagai penghantar makanan yang menggunakan telefon pintar untuk terima pesanan dan menghantar makanan kepada pelanggan, beliau sememangnya memerlukan kemudahan peranti yang dilengkapi dengan data mencukupi untuk bekerja.

“Jadi dengan adanya pakej ini, hanya perlu membayar RM120 (bagi 100,000 golongan B40 terawal) untuk dapatkan peranti berkenaan dan harga itu memang cukup murah dan sangat membantu golongan kami,” katanya.

Seorang pekerja syarikat guaman di Pulau Pinang Haslina Halim, 32, berkata Pakej 5G RAHMAH itu dapat menjimatkannya bayaran bil bulanannya sehingga RM40 sebulan, memandangkan beliau ketika ini memakai pakej RM100 setiap bulan.

Beliau berkata pakej yang ditawarkan dengan harga telefon bimbit yang murah juga dapat memberi peluang kepadanya untuk menukar telefon bimbit baharu bagi mengantikan alat telekomunikasi sedia ada yang telah digunakan sejak tiga tahun lepas.

“Mungkin orang lain nampak ia (RM40) itu kecil tapi bagi saya ia boleh digunakan untuk perkara lain contohnya lampin pakai buang untuk anak..boleh dapat satu pek besar,” kata ibu dua anak lelaki berusia dua dan lima tahun.

Mohd Khairi Fawzi, 38, pekerja swasta di Selangor berkata inisiatif kerajaan itu secara langsung dapat mengurangkan bil telefon bulanan beliau dan isteri, sekali gus menjimatkan perbelanjaan isi rumah mereka.

Selain Pakej 5G Rahmah, Fahmi turut melancarkan Insentif Pascabayar Rahmah Penjawat Awam yang menawarkan rebat kepada penjawat awam kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan, namun tertakluk kepada terma dan syarat syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi terlibat.

Sehubungan itu, penjawat awam Nurashikin Haron, 28, menyifatkan insentif itu selaras dengan keperluan perkembangan teknologi yang semakin canggih.

Penerbit Rancangan RTM di Negeri Sembilan itu menyifatkan capaian Internet yang pantas itu penting, bagi melancarkan tugasan terutamanya ketika berada di lapangan.

“Penggunaan Internet ketika ini sangat luas, contohnya digunakan untuk Zoom meeting, panggilan video dan sebagainya. Insentif ini yang menawarkan harga berpatutan sangat membantu petugas yang memerlukan penggunaan kuota Internet yang besar dan stabil,” katanya.

Seorang guru dari Kota Bharu, Kelantan, Asriyah Rejab berkata insentif untuk penjawat awam itu merupakan langkah tepat dan efektif yang dilakukan kerajaan untuk membantu golongan penjawat awam mengurangkan tekanan kos sara hidup ketika ini.

“Oleh itu, rebat sebanyak RM10 sebulan untuk tempoh 12 bulan bagi pakej pascabayar bernilai RM60 dan ke atas kepada penjawat awam amat tepat pada masanya,“ katanya. -Bernama