ALOR GAJAH: Kerajaan Melaka akan memohon peruntukan tambahan dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), bagi membangun dan menambah baik infrastruktur ekopelancongan di sepanjang pesisir Sungai Linggi, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (gambar).
Beliau berkata ini merupakan antara usaha kerajaan negeri menambah baik kualiti kawasan ekopelancongan tersebut, yang kini sedang giat dibangunkan sebagai satu lagi tarikan pelancongan di negeri itu terutama sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.
“Ini termasuklah projek menaik taraf beberapa jeti baharu di pesisir sungai tersebut, kemudahan awam seperti tandas serta menghias kawasan ini,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke kawasan Ekopelancongan Sungai Linggi di sini hari ini.
Ab Rauf berkata projek pembangunan Ekopelancongan Sungai Linggi, telah bermula 10 Jan 2022 dan siap diserahkan pada 23 Dis 2022 kepada Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), yang mana pembangunan projek tersebut dibahagikan kepada dua fasa.
“Fasa pertama projek pelancongan ini telah siap dengan kos RM2.3 juta, yang mana antara komponen yang dibangunkan dalam projek Ekopelancongan Sungai Linggi ialah pembinaan jeti utama, merangkumi laluan pejalan kaki, menara tinjau, tandas awam dan papan tanda 3D.
“Ini juga termasuklah naik taraf tapak sejarah Sabak Arang, Taman Lokan dan Tebing Urut, serta tapak sejarah Kota Simpang,” katanya.
Bagi pembangunan Fasa 2, beliau menjelaskan pihak MPAG dalam proses memohon peruntukan bernilai RM5.3 juta, bagi melaksanakan projek tapak pelantar perkhemahan, restoran terapung, surau dan tapak caravan,” katanya.
Dalam pada itu Ab Rauf berkata pengunjung ke kawasan Sungai Paya Lebar bakal menikmati perkhidmatan dua ‘River Cruise’ yang akan mula beroperasi hujung tahun ini.
“Kawasan Paya Lebar ini juga akan dibangunkan lokasi glamping, yang mana akan menjadi tarikan kepada pelancong yang meminati aktiviti luar dan ini saya akan minta MPAG segerakan kemudahan yang diperlukan,” katanya. -Bernama