SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini melancarkan fasa pertama komponen pembangunan 13 lot industri eksklusif Projek Taman Industri Hijau (GRIP) Kota Puteri di Rawang yang dijangka siap pada 2027.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mahmud Abbas berkata pembangunan GRIP akan melibatkan pembinaan 52 unit kilang berkembar di atas tapak berkeluasan 22.2 hektar (55 ekar).

“PKNS berharap dengan pelancaran 13 lot industri ini akan mampu menarik lebih ramai pemain industri untuk membeli produk GRIP Kota Puteri, sekali gus menjadi pemangkin untuk pertumbuhan ekonomi dan pembangunan industri di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran pembangunan fasa pertama GRIP Kota Puteri yang dirasmikan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han di sini.

Mahmud berkata pelan cadangan pembangunan bagi keseluruhan GRIP Kota Puteri dirancang dilaksanakan dalam tiga fasa dengan fasa pertama akan bermula pada Mei dengan keseluruhan fasa dijangka disiapkan dalam tempoh 10 tahun.

GRIP Kota Puteri yang dirasmikan tahun lalu oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dijangka menarik pelaburan berjumlah RM8 bilion dan menyediakan sehingga 5,000 peluang pekerjaan.

Mahmud berkata pembangunan keseluruhan GRIP di atas tapak seluas 152.5 hektar (377 ekar) itu juga mempunyai tarikan pelaburan berikutan lokasinya yang mudah diakses serta tidak jauh dari Pelabuhan Klang.

Beliau berkata projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2 bilion itu akan dilengkapi dengan pelbagai infrastruktur terkini bagi memastikan kawasan itu dibangunkan secara mampan.

Katanya GRIP yang berkonsepkan Taman Perindustrian Terurus (MIP) itu juga telah mendapat perakuan daripada pihak berkuasa negeri yang membolehkan pengilang memanfaatkannya untuk menjadi lebih kompetitif dan ‘hijau’.

Dalam pada itu, Mahmud berkata PKNS turut merancang membangunkan hub halal di kawasan tersebut setelah kesemua fasa di taman perindustrian tersebut siap dibangunkan.

Beliau berkata Penginapan Pekerja Berpusat atau Centralised Labour Quarters (CLQ) juga akan dibina yang boleh menempatkan kira-kira 4,000 pekerja.

“Pembangunan taman industri hijau Kota Puteri itu yang dijangka menyediakan sehingga 6,000 peluang pekerjaan akan memberi limpahan rezeki dan merangsang pertumbuhan ekonomi di persekitaran kawasan tersebut,” katanya. -Bernama