PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri telah melanjutkan tempoh akhir permohonan Surat Kelulusan Visa Dengan Rujukan (VDR) di Jabatan Imigresen Malaysia sehingga 21 April 2024 daripada 31 Mac tahun ini, kata menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar).
Beliau berkata pelanjutan ini dibuat dengan mengambil kira jumlah kuota aktif yang belum memohon VDR sebanyak 132,000 dan herotan teknikal yang berlaku kepada sistem Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS) pada 21, 22, 23, 27, 28 dan 29 Mac 2024.
“Pelanjutan ini akan memberi peluang kepada para majikan yang sahih untuk menyelesaikan proses bagi mendapatkan Surat Kelulusan VDR ini dengan segera,” beliau berkata kepada kepada sidang media di sini, hari ini.
Sehubungan itiu beliau menjangka sejumlah 105,600 pekerja akan diberi Surat Kelulusan VDR daripada 132,000 kuota yang masih belum memohon Surat Kelulusan VDR.
Sementara itu Saifuddin berkata Kerajaan bersetuju untuk menamatkan perkhidmatan Agensi Pengendali Permohonan Visa Malaysia (APPVM), bermula dengan negara Bangladesh pada 1 Januari lepas.
Seterusnya penamatan untuk lain-lain negara sumber termasuk dua negara bukan sumber iaitu Singapura dan Hong Kong, akan dibuat pada 31 Mei 2024, manakala penamatan APPVM bagi negara China pula akan dibuat pada 31 Disember 2024.
Saifuddin berkata objektif utama penamatan ini adalah untuk meningkatkan kecekapan proses pengambilan pekerja asing dengan mengurangkan lapisan birokrasi yang perlu dilalui majikan, dan majikan tidak lagi dibebankan dengan kos yang perlu dibayar kepada APPVM.
“Sepertimana saya tegaskan sebelum ini, Kerajaan adalah berpandukan kepada empat prinsip iaitu mengurangkan kos migrasi, mempercepatkan proses pengurusan pekerja asing, memastikan kebajikan pekerja asing terjaga dan memastikan kepentingan majikan terpelihara,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan prinsip ini, kerajaan telah memberi akses ID kepada para majikan untuk membuat permohonan visa bagi kategori pekerja asing, menjadikan proses permohonan visa kini bergantung sepenuhnya kepada para majikan.
Saifuddin berkata setelah perkhidmatan APPVM Bangladesh ditamatkan, JIM telah meluluskan sebanyak 23,859 permohonan visa di Bangladesh bagi tempoh mulai 1 Januari hingga 3 April 2024.
“Proses kelulusan dapat dilaksanakan dengan lancar. Ini memberi indikatif bahawa perkhidmatan APPVM di luar negara tidak diperlukan,” katanya.