KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia sedang giat bekerjasama dengan pemain industri untuk mengalakkan pembangunan yang memberangsangkan ekosistem modal insan tempatan, kata Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar.
Beliau berkata langkah itu adalah antara usaha penting untuk memacu aspirasi Malaysia menjadi sebuah negara maju sepenuhnya.
“Untuk mencapai matlamat yang bercita-cita tinggi ini, negara tidak mampu kehilangan kumpulan tenaga mahir kerana kekurangan prospek kerjaya yang baik atau sistem pembangunan modal insan yang ketinggalan,“ katanya dalam ucapan perasmian dan pelancaran Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) di sini hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan dan melancarkan acara dua hari itu yang bermula hari ini.
Sementara itu ketika ditemui pemberita Sivakumar berkata tenaga mahir negara kini berada pada kadar 27 peratus berbanding sasaran yang ditetapkan negara iaitu mencapai tahap 35 peratus menjelang 2030.
“Saya telah meminta jabatan dan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk pastikan negara berada pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran itu dengan memberikan latihan yang sewajarnya dan tidak ada yang tidak sepadan,” katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Sumber Manusia dan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dalam satu kenyataan bersama berkata persidangan bertemakan ‘Pioneering Growth, Inspiring Change’ NHCCE 2023 membariskan 30 penceramah dan antaranya ialah pakar modal insan terkenal dunia, pengamal sumber manusia dan pakar di dalam bidang berkenaan.
NHCCE, persidangan dan pameran modal insan terbesar di Asia Tenggara disertai kira-kira 4,000 peserta tempatan dan antarabangsa dengan 400 pempamer yang menyediakan trend terkini termasuk model peningkatan kemahiran dan teknologi baharu. -Bernama