KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan akan memantau lebih 70 lokasi panas kemalangan di negeri itu bersempena dengan cuti Tahun Baharu Cina.
Pengarah JBPM Kelantan Zainal Madasin berkata jajahan Gua Musang mencatatkan lokasi terbanyak iaitu 15 kawasan kemalangan diikuti Kuala Krai dengan tujuh lokasi panas.
“Bagi penugasan perayaan Tahun Baharu Cina kali ini, kita akan tempatkan anggota dari 22 balai di semua kawasan panas berkenaan sebagai persiapan untuk sebarang kemungkinan.
“Kita juga menyediakan kelengkapan motosikal bagi melancarkan tugas rondaan bersama agensi lain sekali gus mengelak terperangkap dalam kesesakan jika bantuan menyelamat diperlukan. Hal ini kerana kita jangkakan banyak kenderaan akan mula memasuki negeri ini berikutan cuti panjang akan bermula hujung minggu ini,“ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) dan Kesiapsiagaan Op Perayaan Tahun Baru Cina 2024 yang dirasmikan oleh Pengarah Tanah dan Galian Kelantan Datuk Rosnazli Amin di Ibu Pejabat JBPM Kelantan di sini hari ini.
Zainal berkata sebanyak 650 anggota akan bertugas sepanjang cuti Tahun Baharu Cina termasuk untuk tugasan lain.
Beliau berkata cuti anggota akan dikawal dalam tempoh perayaan walaupun tiada arahan pembekuan cuti dikeluarkan.
Sementara itu, beliau mengesyorkan rumah tamu di negeri ini memberi perhatian terhadap aspek keselamatan di premis masing-masing termasuk menyediakan peralatan memadam kebakaran, sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlaku kebakaran terutama sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah.
“Kita dapati kewujudan rumah tamu atau chalet di negeri ini tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Walaupun kes kebakaran jarang berlaku di premis peranginan, kita perlu pastikan sekurang-kurangnya alat pemadam kebakaran dapat disediakan pemilik premis.
“Sehubungan dengan itu, kita akan gerakkan anggota dari 22 balai di negeri ini untuk memberi kesedaran selain membuat pemantauan dan pemeriksaan,“ katanya.
Zainal berkata pihaknya juga mengesyorkan lebih banyak rumah tamu dapat berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi memudahkan pihaknya melakukan pemantauan kerana setakat ini, hanya lapan rumah tamu yang berdaftar di bawah kementerian itu. -Bernama