KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) buat julung kali menganjurkan Program Kayuhan Jubli Intan Tabung Haji 2023 dengan penyertaan 500 peserta bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-60 penubuhan agensi berkenaan tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata aktiviti itu antara program pengisian sambutan ulang tahun TH dengan matlamat mengeratkan lagi hubungan setia kawan dalam kalangan warga TH, anak syarikat dan agensi Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Beliau berkata selain mengekalkan kesihatan, aktiviti itu juga dapat meningkatkan produktiviti kerja warga TH serta mereka yang terlibat dalam program berkenaan.
“Melalui aktiviti sukan termasuk berbasikal, kita dapat menggerakkan otot-otot badan dan mengeluarkan peluh. Stamina kita akan lebih tinggi dan akan kekal aktif. Aktiviti berbasikal bukan sekadar riadah tetapi juga dapat membantu melepaskan tekanan dan mencergaskan minda.
“Saya berharap aktiviti ini tidak akan berakhir pada hari ini. Saudara saudari perlu terus istiqamah melakukan aktiviti berbasikal atau sukan-sukan lain bagi mengekalkan kecerdasan diri dan minda,“ katanya ketika berucap pada program berkenaan di Menara TH di sini hari ini.
Mohd Na’im berkata aktiviti riadah dan bersukan perlu dijadikan keperluan dalam jadual harian yang sama pentingnya dengan keperluan hidup yang lain.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman berkata program berkonsepkan kayuhan secara santai (fun ride) sejauh 20 kilometer di sekitar bandar raya Kuala Lumpur itu bermula dan berakhir di Menara TH, Jalan Tun Razak.
“Di samping memberi galakan gaya hidup sihat, aktiviti ini dapat membantu mengekalkan produktiviti serta memberi kesedaran tentang penjagaan kesihatan diri dan juga alam sekitar,“ katanya.
Turut hadir bagi memeriahkan lagi program itu ialah pemenang pingat perak Sukan Komanwel 1998 (ikon basikal) Nor Effandy Rosli. -Bernama