SEPANG: Polis menahan seorang lelaki susulan tular video memaparkan seorang isteri ditampar suaminya di sebuah pusat beli-belah di Kota Warisan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata lelaki berusia 50 tahun itu ditahan di hadapan sebuah klinik di Kota Warisan pada pukul 10 pagi tadi.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

“Lelaki berkenaan akan dibawa ke mahkamah esok untuk perintah tahanan reman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan tindakan seorang lelaki menampar isterinya yang berusia 35 tahun membawa padah selepas perbuatan itu secara tidak sengaja dirakam dalam satu video ‘live’ di media sosial.

Rakaman video berdurasi 29 saat itu memaparkan seorang wanita berjalan keluar dari pusat beli-belah, dan setibanya di pintu keluar premis itu, tiba-tiba lelaki berkenaan menampar wajah wanita itu di khalayak ramai.

Pada 26 Jan lepas, Norhizam menerusi kenyataan mengesahkan menerima laporan berkaitan kes itu daripada adik kepada wanita yang ditampar dalam video berkenaan.