BALIK PULAU: Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai menjadi ‘keldai akaun’ kepada beberapa sindiket penipuan, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian RM41,447.70, dalam kejadian baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata tiga lelaki itu, ditahan secara berasingan di sekitar Pulau Pinang oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Barat Daya semalam.

“Dalam kes pertama polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun, kerana menjadi ‘keldai akaun’ sindiket memperdaya mangsa dalam urusan kerja sambilan tidak wujud melalui dalam talian, bersangkut laporan polis di Batu Maung, di sini.

“Berdasarkan siasatan, mangsa telah membuat beberapa transaksi secara dalam talian ke akaun bank dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM22,806,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Kamarul Rizal berkata kes kedua pula membabitkan penahanan seorang lelaki berusia 54 tahun, kerana menjadi ‘keldai akaun’ kepada sindiket memperdaya mangsa dalam urusan mendapatkan komisyen kerja sambilan melalui dalam talian.

Kamarul Rizal berkata dalam kejadian itu, mangsa telah membuat beberapa transaksi secara dalam talian ke akaun bank yang diberikan sindiket tersebut, dengan jumlah keseluruhan RM9,269.70.

Beliau berkata kes ketiga pula melibatkan penahanan seorang lelaki berusia 38 tahun, kerana menjadi ‘keldai akaun’ kepada sindiket memperdaya mangsa dalam urusan pinjaman wang yang tidak wujud melalui dalam talian, membabitkan kes di Bayan Baru.

“Mangsa telah membuat beberapa transaksi secara dalam talian ke akaun bank dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM9,372,” katanya.

Kamarul Rizal berkata semua mereka kini direman dan tiga kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, kerana menipu.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image