KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong memiliki kuasa untuk mengampun, menunda dan melegakan hukuman bagi kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah tentera dan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya manakala Raja atau Yang Dipertua Negeri memiliki kuasa sama bagi kesalahan yang dilakukan di negerinya.

Hal ini dinyatakan dalam peruntukan di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut Perkara 42 (2), tertakluk kepada Fasal (10) dan tanpa menjejaskan mana-mana peruntukan undang-undang persekutuan berhubung peremitan hukuman kerana kelakuan baik atau khidmat khas, apa-apa kuasa yang diberikan oleh undang-undang persekutuan atau undang-undang negeri bagi meremit, menggantung atau meringankan hukuman bagi apa-apa kesalahan boleh dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong jika hukuman itu dijatuhkan oleh mahkamah tentera atau mahkamah sivil dalam Wilayah Persekutuan dan kuasa itu boleh dijalankan oleh Raja atau Yang Dipertua Negeri tempat kesalahan itu dilakukan.

Perkara 42 (3) pula menyatakan jika sesuatu kesalahan dilakukan secara keseluruhan atau sebahagian di luar Persekutuan atau di lebih daripada satu negeri, atau dalam keadaan yang boleh menimbulkan keraguan di mana kesalahan itu dilakukan maka ia hendaklah dikira telah dilakukan di negeri tempat kesalahan itu dibicarakan.

Sementara itu, Perkara 42 (5) menyatakan Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi setiap negeri hendaklah terdiri daripada Peguam Negara, Ketua Menteri dan tidak lebih tiga anggota lain yang dilantik oleh Raja atau Yang Dipertua Negeri.

Peguam Negara boleh dari semasa ke semasa, melalui surat cara secara bertulis, mewakilkan fungsinya sebagai anggota Lembaga itu kepada orang lain dan Raja atau Yang Dipertua Negeri boleh melantik mana-mana orang untuk menjalankan buat sementara fungsi mana-mana anggota yang dilantik olehnya yang tidak hadir atau tidak dapat menjalankan fungsinya.

Menurut Perkara 42 (6), anggota Lembaga Pengampunan yang dilantik oleh Raja atau Yang Dipertua Negeri hendaklah bagi tempoh tiga tahun dan layak dilantik semula namun boleh, pada bila-bila masa, meletakkan jawatan sebagai anggota Lembaga.

Perkara 42 (8) pula menyatakan Lembaga Pengampunan hendaklah bermesyuarat dengan kehadiran Raja atau Yang Dipertua Negeri dan Raja atau Yang Dipertua Negeri hendaklah mempengerusikan mesyuarat itu.

Berdasarkan Perkara 42 (9), sebelum memberi nasihat mengenai apa-apa perkara, Lembaga Pengampunan hendaklah menimbangkan pendapat bertulis yang mungkin dikemukakan oleh Peguam Negara mengenai perkara itu.

Menurut Perkara 42 (10), kuasa untuk mengampun, menunda dan melegakan hukuman atau meremit, menggantung atau meringankan hukuman yang dikenakan oleh mahkamah yang ditubuhkan di bawah undang-undang yang mengawal selia hal ehwal agama Islam di Melaka, Pulau Pinang, Sabah atau Sarawak atau Wilayah Persekutuan boleh dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam di negeri terbabit.

Perkara 42 (11) pula menyatakan bagi maksud Perkara itu maka hendaklah ditubuhkan Lembaga Pengampunan tunggal bagi Wilayah Persekutuan dan peruntukan Fasal (5), (6), (7), (8) dan (9) hendaklah terpakai secara mutatis mutandis bagi Lembaga Pengampunan kecuali sebutan mengenai Raja atau Yang Dipertua Negeri hendaklah ditafsirkan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan sebutan mengenai Ketua Menteri hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan.

Terdahulu, Urussetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dalam kenyataan memaklumkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak (gambar) akan dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028 susulan keputusan Lembaga Pengampunan memberi pengurangan hukuman penjara dan denda terhadap beliau.

Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya membuat keputusan itu dalam mesyuarat ke-61 pada 29 Jan lepas.

Kenyataan yang dikeluarkan Urussetia Lembaga Pengampunan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri itu turut memaklumkan denda yang perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Hukuman ke atas Najib, 70, yang kini meringkuk di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas beliau didapati bersalah atas masing-masing tiga pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram serta satu pertuduhan salah guna kedudukan. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image