• 2025-10-10 08:00 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 bagi menggalakkan rakyat melancong dalam negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan insentif ini ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.

Pelepasan cukai tersebut diberikan ke atas perbelanjaan bayaran fi kemasukan ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan.

Pengusaha projek pelancongan yang melakukan ubah suai dan pembaharuan premis perniagaan akan mendapat potongan cukai atas perbelanjaan layak terhad kepada RM500,000.

Syarikat pengendali pelancongan diberikan pengecualian cukai pendapatan 100% ke atas nilai peningkatan pendapatan daripada pakej pelancongan ke Malaysia.

Pengecualian cukai pendapatan 100% turut diberikan kepada penganjur persidangan, pameran perdagangan atau insentif bertaraf antarabangsa.

Syarikat penganjur aktiviti kesenian, kebudayaan, pelancongan serta pertandingan sukan bertaraf antarabangsa mendapat pengecualian cukai pendapatan 50%.

Insentif pengecualian 100% duti eksais dan cukai jualan diteruskan untuk pembelian kereta nasional baharu oleh pemilik teksi dan kereta sewa persendirian.

HRD Corp memperuntukkan RM10 juta untuk menanggung kos kursus dan elaun kepada pemandu teksi berlesen yang menjalani latihan peningkatan kapasiti.

Anwar menegaskan tahun 2026 merupakan tahun istimewa untuk menyambut kedatangan pelancong dari seluruh dunia ke Malaysia. – Bernama