MELAKA: Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) akan membuka tirai seminggu lebih awal iaitu pada 25 Dis depan pengajuran pelbagai acara menerusi Karnival Islamik, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (gambar).
Beliau berkata Karnival Islamik di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini akan berlangsung selama lima hari sebelum acara sambutan Tahun Baharu 2024 di Sungai Melaka Fasa 2.
“Antara pengisian program Karnival Islamik tersebut termasuklah majlis ijab kabul secara beramai-ramai, jualan pelbagai barangan termasuk makanan halal berkonsepkan bazar dan program Melaka Berselawat.
“Yang paling menarik adalah lantunan ayat-ayat suci Al-Quran selama 24 jam tanpa henti sepanjang karnival tersebut berlangsung,” katanya pada sidang akhbar selepas berakhirnya sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.
Mengulas mengenai sambutan Tahun Baharu 2024 pula, Ab Rauf berkata konsert yang akan dibarisi penyanyi anak kelahiran tempatan serta beberapa selebriti lain akan diadakan di Sungai Melaka Fasa 2 tersebut.
Beliau berkata majlis sambutan itu juga akan disiarkan secara langsung di Wilayah Nanning, China yang mempunyai lebih 50 juta penduduk.
“Melaka akan menjadi bandar raya berkembar kepada wilayah berkenaan dan ia merupakan satu kelebihan yang kita dapat sempena TMM2024 ini,” katanya. -Bernama