KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) membuka semula Balai Seninya kepada orang awam dengan pameran seni Wordless Comics bagi menyambut Kemerdekaan dan Kenegaraan 2022.
Pengerusi Maybank Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata pembukaan semula Balai Seni Maybank juga bertujuan mempromosikan hasil karya seni artis tempatan dan meningkatkan kesedaran tentang bakat seni Malaysia yang kaya dan pelbagai bentuk.
“Selepas berehat lebih dua tahun, Balai Seni kami kembali, dan kami teruja untuk berhubung semula dengan artis dan pencinta seni di seluruh negara.
“Pameran terbaharu ini sangat dekat di hati kami kerana menggariskan kepentingan kemerdekaan sambil mempamerkan kepelbagaian dan kreativiti seni, serta kegembiraan menghargai banyak lelaran dan tafsiran seni halus menerusi lensa artis tempatan yang baharu dan muda,” katanya dalam kenyataan.
Pameran seni itu akan dibuka kepada orang ramai dari pukul 10 pagi hingga 5 petang (Isnin hingga Jumaat) dan 11 pagi hingga 4 petang (Sabtu) hingga 30 Sept ini dan kemasukan ke Balai Seni Maybank yang terletak di tingkat satu Menara Maybank di sini itu adalah percuma.-Bernama