NIBONG TEBAL: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang berazam untuk memulihkan akhlak dan memberi bimbingan kepada kumpulan pelajar sebuah sekolah menengah di Seberang Perai Selatan di sini yang bertindak ‘meraikan’ penggal terakhir persekolahan dengan merosakkan pelbagai peralatan dan fasiliti sekolah.
Pengarahnya Abdul Rashid Abdul Samad berkata ia antara usaha bagi memastikan pemantapan sahsiah dan akhlak kumpulan pelajar tersebut supaya kejadian seumpama itu tidak berulang.
“Isu ini kita telah kemas kini dan maklumkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung perkembangan siasatannya dan ia akan dimaklumkan kepada pihak media (oleh KPM).
“JPN Pulau Pinang sememangnya kesal atas kejadian yang berlaku. Kami telah mengambil tindakan segera dengan mengadakan perjumpaan bersama pelajar dan waris terlibat serta segala tindakan susulan akan diambil berdasarkan pekeliling yang ada,“ katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan sempena peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan Jawi, di sini hari ini.
Sebelum ini, tular dua video masing-masing berdurasi 28 saat dan 58 saat di media sosial memaparkan beberapa pelajar bertindak menendang pintu bilik darjah dan tandas sehingga pecah serta merosakkan kerusi malah mereka turut dilihat merosakkan kipas sambil bergelak ketawa.
Video berkenaan mendapat reaksi negatif netizen yang menyifatkan tindakan pelajar berkenaan tidak mencerminkan didikan yang diajar di sekolah.
Abdul Rashid berkata pihaknya percaya ada sebab tertentu kumpulan pelajar berkenaan berbuat demikian dan JPN berazam untuk memulihkan semula keadaan supaya pelajar terlibat sedar terhadap perbuatan mereka.
“Fokus JPN adalah untuk pemantapan sahsiah dan akhlak anak-anak itu, yang utamanya kita akan mendidik mereka melalui kaunselor-kaunselor yang ada agar perkara sedemikian tidak berulang pada masa hadapan,“ katanya.
Semalam, JPN Pulau Pinang dilaporkan memaklumkan kumpulan pelajar tersebut akan dilibatkan dalam khidmat komuniti sebagai intervensi sahsiah dan adab, langkah didikan akhlak serta pencegahan segera akan diambil bagi memastikan kes sedemikian tidak berulang.
Keputusan dibuat selepas pihak sekolah memanggil pelajar terlibat bersama waris mereka semalam bagi membincangkan isu berkenaan. -Bernama