TUARAN: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor hari ini menyampaikan 158 ekor lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha yang akan disambut Ahad ini kepada 51 wakil masjid dan surau dalam Parlimen Tuaran.

Sumbangan lembu korban itu turut disampaikan kepada wakil pasukan keselamatan di Sabah termasuk Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di Kepayan; Kem Lok Kawi; Akademi Bomba dan Penyelamat Tuaran; Tentera Laut Diraja Malaysia, Sepanggar; Ibu Pejabat Jabatan Sukarelawan Malaysia Sabah; dan Balai Polis Tuaran.

Majlis penyerahan itu diadakan di perkarangan Masjid Haji Noor, Kampung Serusup, dekat sini, hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Hajiji berkata sumbangan lembu korban itu diharap dapat memeriahkan sambutan Aidiladha tahun ini dan umat Islam di Sabah khususnya di Tuaran dapat bersama melaksanakan ibadah korban.

“Ibadah korban ini mempunyai sejarah dan signifikan amat besar kepada penganut agama Islam untuk kita berkorban dan membantu mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Surau Kampung Wokok, Moksin Mohd Said, 76, yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan Mualaf Tuaran melahirkan rasa terharu dan bersyukur, kerana ini merupakan tahun kedua berturut-turut pihaknya menerima sumbangan lembu korban sempena perayaan Aidiladha.

Seorang lagi wakil penerima, Bendahari Surau Kampung Tambalugu Azmie Empong, 67, turut melahirkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada ketua menteri atas sumbangan berkenaan.

Beliau berkata pihaknya menerima dua ekor lembu, dengan satu daripadanya akan diserahkan kepada kampung berhampiran agar mereka dapat bersama mengerjakan ibadah korban pada tahun ini.

“Kerja-kerja penyembelihan dan pemprosesan lembu korban akan dibuat secara bergotong royong selepas selesai menunaikan solat sunat Aidiladha sebelum diagihkan kepada penduduk kampung,” katanya.-Bernama