• 2025-06-23 04:12 PM

SAMARKAND: Malaysia sedang memuktamadkan Pelan Tindakan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) kebangsaan yang menetapkan rangka kerja tadbir urus yang jelas bagi memastikan AI bukan sahaja meningkatkan kecekapan malah etika, kesaksamaan dan kepentingan awam.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pelan itu memfokuskan kepada sektor utama seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, tenaga dan pertanian di samping membina bakat AI Malaysia dalam sektor awam dan golongan belia.

“Kita semua sedar bahawa teknologi bukanlah sesuatu yang neutral. Ia mesti mencerminkan nilai masyarakat,” katanya ketika berucap pada Forum Perkhidmatan Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2025 di sini pada Isnin.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata pembaharuan struktur dalam perkhidmatan awam perlu disertai dengan transformasi sistem, dan dalam hal ini pendigitalan telah menjadi pemangkin dan pencepat perubahan.

Berpandukan Rangka Tindakan MyDigital dan Pelan Strategik Pendigitalan Perkhidmatan Awam, Fadillah berkata Malaysia telah mendigitalkan lebih 500 perkhidmatan kerajaan dan memperkemas akses melalui platform selamat seperti MyDigital ID dan papan pemuka masa nyata.

Forum Perkhidmatan Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2025 diadakan mulai 23 hingga 25 Jun