SAMARKAND: Malaysia akan terus memperkukuh sektor awam untuk memenuhi keperluan rakyat yang sentiasa berubah-ubah, di samping menyumbang secara bermakna kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015), Malaysia mencapai kemajuan besar dalam pendigitalan penyampaian perkhidmatan awam.
Beliau berkata lebih 10,000 perkhidmatan kerajaan atau 77 peratus telah disediakan secara dalam talian sekali gus meningkatkan akses dan kemudahan untuk rakyat.
“Kami mengurangkan beban pelesenan pada peringkat Persekutuan dan tempatan hampir 60 peratus dan menjimatkan lebih RM9 bilion melalui usaha pengurusan nilai dan pemansuhan lebih 38,000 jawatan berlebihan, menggambarkan komitmen kami terhadap tadbir urus berhemah dan penyampaian perkhidmatan yang cekap,“ katanya dalam ucapan pada Forum Perkhidmatan Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2025 di sini pada Isnin.
Fadillah berkata satu daripada tonggak utama dalam transformasi perkhidmatan awam ialah penerapan nilai H.E.M.A.T, iaitu akronim kepada Hijrah Tatakelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi, dan Tadbir Urus Telus.
“Diperkenalkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, H.E.M.A.T merangkumkan semangat kepimpinan yang bertanggungjawab dan komitmen baharu terhadap penyampaian perkhidmatan awam berkualiti,“ katanya.
Seiring dengan itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar telah melancarkan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam yang menyeluruh, menumpukan kepada tadbir urus berasaskan nilai, pembangunan modal insan, pengukuhan organisasi, perkhidmatan awam dan kerjasama sektor awam–swasta.
“Reformasi ini disokong oleh Associated and Integrated Strategy (Strategi Bersepadu dan Bersekutu) yang memastikan teknologi dan data diterapkan dalam transformasi tadbir urus,“ katanya.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata komitmen Malaysia terhadap masa depan yang mampan turut dibuktikan melalui penubuhan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
“Perkara ini mencerminkan keputusan strategik kerajaan untuk menyelaraskan utiliti awam penting dengan tindakan iklim, inovasi teknologi dan pembangunan inklusif.
“PETRA dipertanggungjawabkan untuk mengubah model tadbir urus air dan tenaga negara. Ia memimpin usaha untuk memperkukuh grid elektrik bagi masa hadapan, menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu, terutamanya solar dan hidro untuk meningkatkan kecekapan tenaga dan memodenkan pengurusan sumber air.
“Ia juga bertujuan memastikan perancangan infrastruktur berpadu dengan kemampanan dan akses sama rata sebagai teras utama,“ katanya.
Fadillah berkata kebajikan dan profesionalisme penjawat awam Malaysia kekal menjadi keutamaan negara.
“Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang diperkenalkan dan berkuat kuasa pada Disember 2024, mencerminkan tumpuan ini.
“Ia merangkumi ganjaran berasaskan prestasi, penyelarasan gaji berperingkat, dan laluan kerjaya yang jelas, selaras dengan visi MADANI untuk membentuk masyarakat yang adil, inklusif dan berprestasi tinggi,“ katanya.
Forum Perkhidmatan Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2025 berlangsung dari 23 hingga 25 Jun.