ALOR GAJAH: Pembelian petrol dan diesel bawah 20 liter menggunakan tong kini dibenarkan di Melaka, kata Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem.
Beliau berkata ia berikutan pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka menerima banyak aduan terutama dalam kalangan pekebun kecil yang memerlukan bahan api tersebut untuk kegunaan harian.
“Mana-mana pihak yang membeli dengan kuantiti kurang daripada 20 liter termasuk kes-kes kecemasan adalah dibenarkan dan tidak memerlukan permit khas.
“Sebaga langkah proaktif, KPDNHEP Melaka mengambil inisiatif mengadakan sesi libat urus bersama semua pengusaha stesen minyak di Melaka dan mengeluarkan arahan tetap berkaitan pendirian kementerian berhubung isu pembelian minyak petrol atau diesel kurang dari 20 liter ini,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau sebuah kilang menghasilkan barang permainan yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Azman Mohd Yusof di Kawasan Perindustrian Alor Gajah di sini hari ini.
Ngwe berkata bagaimanapun mana-mana pihak yang mahu membeli bahan api lebih daripada 20 liter perlu memohon permit khas yang sah untuk tempoh setahun.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Khamis lepas dilaporkan berkata syarikat berskala kecil, organisasi atau individu yang ingin membeli petrol dan diesel daripada stesen minyak untuk kegunaan persendirian dengan kuantiti melebihi 20 liter perlu memohon permit khas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Nanta dipetik sebagai berkata permohonan permit khas secara percuma itu boleh dibuat melalui sistem Mysubsidi Permit Khas secara dalam talian di portal http://permitkhas.kpdnhep.gov.my atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP berhampiran dan kelulusan akan diberikan dalam tempoh kurang dari tujuh hari.
Antara pihak yang telah mendapat permit khas daripada KPDNHEP adalah pengguna forklift, sektor pertanian dan penternakan, pengusaha industri makanan, penduduk di kawasan pedalaman, pengguna pengangkutan air untuk enjin bot serta nelayan separuh masa (bukan pemegang kad e-nelayan).-Bernama