JASIN: Sebanyak 1,277 unit rumah di bawah enam projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dibangunkan di seluruh Melaka melalui kerjasama erat antara pemaju swasta, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali (gambar) berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,077 unit rumah telah siap dibina manakala 200 unit lagi sedang dalam pembinaan.
Beliau berkata lima projek PPAM yang telah siap adalah 95 unit perumahan bagi PPAM Tanjung Minyak, PPAM Taman Angkasa Nuri (138 unit), PPAM Taman Bertam Impian (153 unit), PPAM Jasin Bestari (546 unit) dan PPAM Taman Mekar Jaya (145 unit).
“Projek PPAM yang masih dalam pembinaan adalah PPAM Admiral Residence, Kota Laksamana iaitu sebanyak 200 unit,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan kunci rumah kepada 145 penerima di PPAM Taman Mekar Jaya, Ayer Baruk di sini hari ini.
Hadir sama Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan.
Sulaiman berkata tiga jenis rumah bagi projek PPAM Taman Mekar Jaya menerima sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada 22 Sept lepas.
Katanya penjawat awam turut menerima subsidi sebanyak RM39,000 bagi unit jenis A, RM34,680 seunit bagi jenis B dan RM33,000 seunit bagi jenis C bagi rumah berharga mulai RM198,000 hingga RM238,000 seunit.
“Program PPAM Taman Mekar Jaya ini juga merupakan kesungguhan kerajaan negeri bagi memenuhi keperluan perumahan penduduk melalui konsep perkongsian pintar di antara kerajaan dengan pemaju swasta dalam membangunkan Rumah Mampu Milik (RMM) ini,” katanya.
Beliau berkata RMM menjadi agenda pembangunan terpenting di bawah kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri Melaka selaras dengan hasrat kerajaan Persekutuan untuk meringankan beban hidup rakyat dan menambah pembangunan projek perumahan.-Bernama