KUALA LUMPUR: Seluruh negara digemparkan dengan insiden serangan oleh seorang lelaki dipercayai anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi ini, yang menyaksikan dua anggota polis terkorban.
Semasa berbalas tembakan dengan pihak berkuasa, suspek maut ditembak dalam kejadian pukul 2.45 pagi itu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata setakat ini tujuh individu ditahan termasuk dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) swasta yang masing-masing berusia 21 dan 22 tahun serta bapa suspek berumur 62 tahun yang merupakan ahli JI.
Beliau berkata berdasarkan siasatan awal suspek dipercayai membuat persediaan rapi sebelum melakukan serangan itu.
Tiga yang maut dalam kejadian pukul 2.45 pagi itu terdiri daripada dua anggota polis masing-masing berumur 22 tahun, dan seorang suspek yang berusia lingkungan 30-an, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan cedera.
Razarudin turut mengarahkan Bahagian Cawangan Khas untuk mengesan dan mengenal pasti ahli JI yang berada di negeri itu, yang dianggarkan lebih daripada 20 orang.
Mengenai motif kejadian, beliau berkata suspek dipercayai datang ke balai itu untuk merampas senjata api daripada polis bagi tujuan yang masih dalam siasatan.
Sementara itu beliau berkata polis akan meningkatkan kawalan keselamatan di balai dan kawasan yang melibatkan individu berprofil tinggi termasuk istana, susulan kejadian serangan itu.
Beliau dalam masa sama meminta pegawai dan anggota yang bertugas di dalam atau luar lapangan untuk sentiasa bersiap siaga dan berhati-hati sepanjang masa.
Razarudin bersama Timbalannya Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga dua anggota polis yang maut dalam serangan itu.
Kedua-dua anggota polis yang meninggal dunia ketika sedang bertugas dalam kejadian serangan itu ialah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said.
Allahyarham Ahmad Azza Fahmi dan Allahyarham Muhamad Syafiq merupakan anggota ronda cegah jenayah di balai polis berkenaan dan baru sahaja berkhidmat dengan pasukan kira-kira dua tahun.
Sementara itu proses bedah siasat ke atas mayat dua anggota polis dan seorang suspek yang maut dalam insiden serangan itu dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.
Seorang lagi anggota yang cedera dalam kejadian itu turut menerima rawatan di hospital berkenaan.