• 2025-07-28 01:46 PM

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di Lembah Klang dengan menahan tiga individu dan merampas 145.68 kilogram (kg) syabu bernilai RM4.66 juta dalam satu operasi pada Khamis lalu.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata ketiga-tiga suspek, termasuk seorang warga Indonesia berusia antara 32 hingga 61 tahun, ditahan di sebuah pusat beli-belah di Jalan Kuchai Lama pada jam 5.40 petang.

Pemeriksaan terhadap kereta milik suspek tempatan menemui 10.34kg syabu yang disembunyikan dalam beg kain di bahagian but kereta. Siasatan lanjut membawa kepada serbuan susulan di sebuah rumah teres dua tingkat di Puncak Jalil, di mana polis merampas tambahan 135.34kg syabu dalam 122 bungkusan plastik.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dalam operasi ini boleh digunakan oleh 728,400 penagih, dengan nilai pasaran dianggarkan RM4.66 juta,“ kata Mohamed Usuf dalam sidang media hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa sindiket ini dipercayai menggunakan rumah teres dua tingkat di Puncak Jalil, yang disewa sejak Oktober lalu pada kadar RM2,000 sebulan, sebagai lokasi penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan Indonesia.

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak Mei lalu dan mendapat bekalan dadah dari luar negara. Dua suspek tempatan yang ditahan disyaki berperanan sebagai ketua sindiket dan penghantar,“ tambahnya.

Ujian saringan dadah mendapati dua suspek positif manakala semakan rekod menunjukkan seorang daripadanya pernah dikehendaki polis atas kesalahan berkaitan dadah. Ketiga-tiga suspek kini direman antara enam hingga tujuh hari bermula 25 Julai, dengan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 - Bernama