PETALING JAYA: Pemilik kebun kelapa sawit disaran supaya membuat pelaburan bagi mendapatkan alat teknologi automasi agar dapat digunakan di ladang, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin.
Beliau berkata, penggunaan alatan automasi dalam sektor perladangan merupakan jalan penyelesaian jangka masa panjang bagi masalah kebergantungan terhadap pekerja asing.
“Malah, langkah ini akan menjadikan industri sawit negara lebih berdaya tahan untuk tempoh jangka masa panjang.
“Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) juga percaya pembabitan lebih besar dalam automasi boleh membantu meletakkan minyak sawit sebagai minyak masak pilihan utama di peringkat global, sejajar dengan Kempen “Minyak Sawit Malaysia Penuh Kebaikan” yang sedang dijalankan,” katanya menerusi kenyataan harini ini.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pemilik kebun kelapa sawit menggunakan dron untuk tujuan pengawasan dan kawalan serangga perosak.